Suatu malam yang hening...
“Abang, apa sebenarnya yang berlaku?” Suara Ibu kedengaran dari balik dinding. Ketika itu Muna sedang berkira-kira hendak tidur di biliknya, tika dia terdengar perbualan di antara Ibu dan Ayahnya.
“Entahlah Asiah... Abang rasa Abang dah ditipu si Hamid dan gengnya...” Keluh ayah Muna.
“Maksud Abang? Asiah tak faham...” Muna mendekatkan telinganya ke dinding. Dia mungkin tidak faham erti sebenar perbualan ayah dan ibunya ketika itu, tapi tak pernah dilupakan kata-kata ayahnya pada malam itu.
“Syarikat kita disyaki menjadi pengedar heroin... pihak Polis sedang membuat siasatan...” Ada rasa hambar dari luahan itu.
“Astaghfirullahal azim... betul ke ni Abang?Siapa pulak yang jadi dalangnya?” Muna tertanya-tanya sendirian, ‘apa itu heroin?’.
“Polis sedang menyiasat syarikat kita... mungkin dalam masa beberapa hari lagi siaplah siasatannya...”
“Apa kaitannya dengan Hamid?” Puan Asiah bertanya lagi.
“Bungkusan yang selalu dihantar oleh syarikat kita rupanya mengandungi heroin.. Hamid adalah pegawai yang bertanggungjawab memeriksa... dan Abang yang bertanggungjawab atas penghantarannya kepada pelanggan... ada pegawai menyatakan Hamid terlibat dalam pengedaran heroin...” jelas ayah Muna.
“MasyaAllah... tak sangka betul saya Abang...”
“Hamid menjadikan syarikat kita dan abang sebagai pemilik syarikat sebagai kambing hitam... Abang mesti buktikan yang Hamid bertanggungjawab terhadap semua heroin tu... untuk terlepas dari hukuman...”
“InsyaAllah Abang... kita usaha... mudah-mudahan Abang selamat...” Ada bunyi esakan dari kata-kata ibu Muna itu.
“Masalahnya semua dokumen penghantaran dan kelulusan penghantaran bungkusan-bungkusan itu ada tandatangan Abang... buktinya jelas menunjukkan seolah-olah Abang yang bertanggungjawab...” Keluh ayah Muna.
“Tak ada cara lain ke untuk membuktikan Abang tak terlibat?”
“Entahlah... bukti-bukti yang ada sangat kuat...”
Seminggu kemudian semuanya menjadi kenyataan. Benarlah telahan ayah Muna. Ketika mereka sekeluarga sedang menikmati hidangan tengahari, pegawai Polis telah datang ke rumah dan membawa pergi Ayah. Muna meronta tidak mahu melepaskan ayahnya, namun apalah daya dia sekadar kanak-kanak berusia 6 tahun untuk menentang pihak Polis. Hanya renungan ayahnya menjadi peneman diri ketika itu. Ayah kelihatan tabah sekali mengikuti pihak Polis.
“Ibu... Polis bawa Ayah pergi mana?” Suara Muna bertanya.
“Ayah ada kerja, sayang... nanti Ayah baliklah...” Pujuk Puan Asiah. Hakikatnya dia tidak tahu bilakah suaminya akan kembali ke rumah itu. Bermulalah episod duka di dalam lembaran hidup mereka.
Ayah Muna kemudiannya telah dipenjarakan atas kesilapan yang tidak dilakukannya. Menjadi kambing hitam kepada sahabat sendiri yang sudah dianggap sebagai saudara. Rambut sama hitam, hati manusia lain-lain. Keperitan menanggungnya tiada kata yang mampu digambarkan.
Ibulah yang menggantikan tempat Ayah sebagai ketua keluarga. Ibulah yang membanting tulang empat kerat untuk menyara mereka sekeluarga. Paling sedih, ketika itu Ibu sedang mengandungkan PakCu. Masyarakat tiba-tiba berubah kejam. Ibu dan Ayah yang selama ini dipandang baik, bertukar menjadi pesalah di mata mereka. Ayah dianggap sebagai pengedar dadah yang keji. Walau pun mahkamah belum menjatuhkan hukuman, masyarakat sudah dulu menghukum. Malah Ibu juga dituduh mengandungkan anak bukan zuriat Ayah.
“Takkanlah si Asiah tu boleh mengandung pulak? Laki dia kan dalam penjara...”
“Alah apa nak herannya... kalau laki dia pun mengedar dadah... bininya takkan malaikat pulak... macam tak paham saja kau ni Senah...”
Pedih memang pedih mendengarnya. Tapi bagaimanakah hendak dikatakan kepada masyarakat bahawa Ibu mengandung sebelum Ayah dipenjarakan lagi? Dalam keadaan keluarga sebegini, siapa yang hendak percaya? Siang malam Muna melihat Ibu berendam air mata. Luka di badan jelas tampaknya, luka di dalam hati siapa yang tahu? Tapi Ibu seorang yang sangat kuat. Tidak pernah Ibu mengeluh akan nasibnya di hadapan Muna dan PakEi. Ibu tetap menjaga kesihatannya untuk kebaikan bayi dalam kandungannya. Ibu semakin kuat bekerja untuk menyara Muna dan PakEi.
Hidup di kota Kuala Lumpur sangat perit. Tapi, Ibu tabahkan hatinya untuk sentiasa memberikan semangat kepada Ayah. Ibu tidak mahu pulang ke kampung, kerana ibu mahu melawat Ayah selalu, Ibu mahu tunjukkan pada Muna dan adiknya bahawa cinta sejati tidak akan dapat dihalang oleh tembok besi sekalipun. Ibu mahu berikan semangatnya pada Ayah. Ibu mahu Ayah tabah dan kuat untuk menghadapi dugaan Tuhan. Kerana itulah janji Ibu pada Ayah untuk sehidup semati, bersusah dan senang bersama.
Setahun kemudian, mimpi ngeri yang selalu ditakutkan menjadi kenyataan. Ayah Muna dijatuhkan hukuman. Semoga Tuhan mencucurkan rahmat ke atas ruh Ayah. Tali gantung menjadi penamat riwayat seorang ayah yang penyayang dan suami yang bertanggungjawab; serta sahabat yang diperdaya. Ibu masih kuat. Ibu masih mampu menatap jenazah Ayah untuk kali penghabisan. Perpisahan yang tidak akan membawa kepada pertemuan lagi. Pemergian abadi.
Posted at 10:10 am by
hafeiz suhaimi