Angin petang menghempas ke wajah. Muna berteleku di pondok berdekatan makmal sains sepeti biasa. Runsing memikirkan bagaimana hendak dia dapatkan wang untuk yuran SPMnya dan juga menggantikan jam tangan Azhani yang rosak.
'Ya Allah... berat sungguh dugaan Engkau pada aku... di mana salah aku ya Allah, hingga aku menanggung besarnya dugaan Engkau ini... Serasa aku sudah mahu mengalah ya Allah... Aku tak mampu lagi untuk menghadapi semua ini ya Allah... Dengarlah ya Allah... hambaMu merayu di sini oh Tuhanku... Aku merayu kasihMu ya Allah... kasihanilah diri aku ini ya Allah...' Permata jernih menitis satu persatu dari kelopak matanya. Panas. Akhirnya jatuh membasahi pipinya.
'Ibu... kalaulah Ibu tahu keadaan Kakak di sini... tentu Ibu juga akan bersedih... Anak Ibu ini sudah lemah Ibu... Kakak sudah mencuba untuk menjadi sekuat Ibu, tapi gelombang yang menghempas Kakak terlalu besar Ibu... Di mana lagi kekuatan yang mampu Kakak dapatkan Ibu? Semoga Kakak mendapat kekuatan dari semangat juang Ibu selama ini...' Rintih Muna sendirian. Buku latihan yang terbuka di atas lantai pondok di biar terkibas-kibas ditiup angin.
Sekian lama hidup di kegelapan
Meraba-raba tanpa tujuan
Akal dan budi seakan tak berfungsi
Ke manakah diri...?
Apa diturut kehendak yang meronta
Menyiksa badan membakar jiwa
Syaitan dan nafsu meracun dalam iri
Renungkanlah ini
Kita sekadar di persinggahan
Pasti kembali pada yang Menciptakan
Ombak dan badai lumrah kehidupan
Insani...
Jangan mengalah jangan berputus asa
Insaflah semuanya hina jua
Jangan biarkan diri terkorban
Dengan dunia
Pada Ilahi bantuanNya menanti
Iman dan taqwa yang sejati
Itulah bekalan diri
Doa senjata mereka yang beriman
Tuhan Pencipta Maha Penyayang
Mohon petunjuk damba bantuan
Hanya pada Tuhan
Kemudi Cinta – Zafran
Sehelai sejadah dibentangkan di tengah-tengah dewan solat muslimat Masjid Seri Negeri. Suasana hening dan sunyi. Jam berdetik laju. 4.00 pagi. Muna berteleku di atas sejadah sambil bertasbih. Puji-pujian dihadapkan kepada Ilahi. Mohon ditenangkan hatinya. Tanpa disedarinya, airmata menitis lagi. Ke manakah hala tuju hidupnya dalam kegelapan kedhaifan ini? Bukan sehari dua dia dibuai arus kemiskinan, tapi sudah 10 tahun. Semenjak ayahnya pergi menyahut seruan Tuhan.
Dia sedar bahawa kehidupan mereka sebelum itu agak senang. Tidak pernah rasa terdesak dengan kewangan. Keperluan mereka sekeluarga memang cukup. Tetapi ujian Allah datang tanpa pernah terduga. Kesenangan di depan mata rupanya hiburan sebentar cuma. Kehidupan mereka berubah dalam sekelip mata. Umpama mimpi. Harta yang ada di tangan, hilang.
"Mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas kamu..."
Masih terngiang-ngiang lagi di telinga kecilnya kata-kata itu. Ketika itu dia berumur 6 tahun. Tidak tahu apa sebenarnya maksud hukuman itu. Tidak tahu bahawa hukuman itu akan menukar statusnya kepada yatim dan menukar status Ibu menjadi janda.
Namun dia yakin. Kata-kata itu suatu yang memedihkan jiwa. Masakan tidak. Kerana dengan kata-kata itulah kelopak mata Ibunya bergenangan air jernih. Kerana dengan kata-kata itulah neneknya jatuh pengsan dan datuknya tergamam tak berkata apa. Masih terbayang lagi wajah ayahnya di dalam pagar kayu di depan menekup muka. Gegaran bahu ayahnya kala itu menjelaskan betapa pilunya hati seorang ayah untuk berpisah selama-lamanya dari anak isteri.