Angin kipas di siling menyejukkan badan. Mujurlah dia berada di tempat duduk yang betul-betul di bawah kipas siling. Kalau tidak mahu berpeluh juga tiba musim kering. Menantikan guru Biologi masuk mengajar. Kadangkala betul juga kata orang penantian itu suatu penyiksaan. Terseksa jiwa raga. Tiba-tiba dia terdengar bunyi bisin dari arah kelas sebelah. Bunyi seperti suara orang bertengkar. Teman-teman sekelas sudah dulu menjenguk ke sebelah.
“Woi... kau duduk sini lagi?!” Kamarul menepuk bahu Abrisam.
“Kenapa tu?” Abrisam memuncungkan bibirnya ke arah kelas sebelah.
“Awek kau kena ‘fire’ dengan Che Put...” jawab Kamarul.
“Hah?!!” Kaki melangkah laju ke arah Kelas 5 Ibnu Sina.
‘Bila masa pulak Muna jadi awek dia?’ Kamarul bermonolog sendirian sambil menggaru kepalanya yang tak gatal, mata melihat tindakan separa sedar kawan baiknya itu.
“Hoi minah... kau ingat harta aku ni free ke?” Jerkah Puteri Azhani. Muna tunduk diam.
“Kau ingat benda ni murah ke?!” Azhani mengangkat tangannya. Mata menjengil memandang Muna di depannya. Serasa seperti hendak ditelan saja Muna di depannya itu.
“Saya minta maaf Azhani... saya janji saya akan ganti semula...” Muna bersuara.
“Maaf saja yang kau tau..! Orang macam kau ini selalunya pandai minta maaf saja... menyusahkan betul!!” bentak Azhani.
“Sudahlah tu Azhani...” Che Ah bersuara.
“Kau tak ada kena mengena dalam hal ni, diam...” balas Azhani.
“Aku bukan nak mengacau... benda kecik saja... takkan tak boleh settle cara elok...” jawab Che Ah.
“Benda kecik kau kata? Memanglah kau dengan minah ini satu kapal punya mind-set...” Azhani memandang keji ke arah Muna dan Che Ah. Berdesing juga telinga mereka berdua mendengarnya.
“Kalau macam tu... biar aku saja yang masuk campur...” Lailina bangun berdepan dengan Azhani.
“....” Azhani diam membatu.
“Apasal diam? Mati ayat? Mati kutu? Kita sekapal Azhani, tapi aku tak pandang orang, macam kau pandang... cuba belajar hormat orang lain sikit... harta dalam bank tu bukan kau yang punya... bapak kau yang punya... reti..?” Nur Lailina binti Datuk Mukriz bersuara lantang. Setiap mata di dalam kelas memandang tak bersuara ke arahnya.
“Dah... cikgu datang!” Jerit Abrisam dari luar. Semua pelajar bergegas kembali ke tempat masing-masing. Walau pun Abrisam tidak tahu sebab musababnya, tindakannya berjaya menyuraikan ketegangan. Keadaan kembali tenang; walau pun ada hati yang sedang membara.