“Kau tak order pulak nasi goreng kesayangan kau Am?” Kamarul duduk mendepani Abrisam di bangku. Gerai Pak Wahab sudah sebati dengan pelajar-pelajar S3N.
“Aku tak ada seleralah... nak jugak tukar menu kali ini...” jawabnya selamba. Sudu dan garfu ligat mengacau Mee Udang di dalam mangkuk. Mulutnya meniup-niup mee yang masih panas berasap itu.
“Kau tak tahu fasal buah hati kau ke?” Kamarul menyedut air oren di dalam gelas kaca.
“....” Abrisam mengerutkan kening. Maksudnya ‘buah hati aku siapa?’.
“Hehe... buat-buat gaharu cendana pula... Muna lah... siapa lagi?” balas Kamarul tersengih sumbing.
“Kau tak ada benda lain ke nak cerita?” Abrisam menyudu kuah Mee Udang itu.
“Aku hairanlah Am...”
“apa?”
“Kau dan Muna...”
“Aku dengan Muna? Kenapa?” Abrisam tak faham.
“Ye... Dulu kau sibuk-sibuk ambik berat hal Muna, sekarang ini masa yang dia sangat perlukan bantuan, kau pulak buat tak tahu...” balas Kamarul.
“What kind of help yang aku boleh hulurkan? Kau nak aku pergi cukur rambut dia yang panjang mengurai tu? Supaya dia pakai tudung semula? Gila...” Gumam Abrisam.
“Bukanlah macam tu, maksud aku nasihatkan dia ke apa ke...” Kamarul memandang Abrisam.
“Kamarul, kalau Lailina kawan terapat dia pun hari-hari mandi airmata, inikan pulak aku nak pergi nasihat dia... sure tak jalan punyalah...”
“Huh...” Kamarul melepas nafas. Ada sedikit riak kecewa.
“Kau jangan fikir aku tak kisah fasal Muna... dia kawan aku... tapi aku tak ada daya nak ubah dia semula...” balas Abrisam.
“Aku bukan memaksa kau Am... tapi kaulah kawan lelaki yang boleh dikatakan pertama merapati Muna... that’s why aku rasa kau mampu untuk ubah dia semula...” Ada pengharapan yang disimpan di dalam tuturnya Kamarul itu.
“Aku tak nak fikir lagi fasal dia, biarlah dia capai apa yang dia nak selama ini...” jawab Abrisam acuh tak acuh sahaja.
“Am?! Aku ingat Muna saja yang berubah... rupanya...” belum sempat dihabiskan lagi kata-katanya, Abrisam memotong..
“Aku masih Abrisam Adli yang kau kenal dulu... tak seinci pun aku berubah... inilah Abrisam Adli yang kau kenal awal tahun dulu, dan inilah juga Abrisam Adli tu...” balas Abrisam mendatar. Tiada langsung riak.
“Huh...” Sekali lagi nafas kecewa dilepaskan Kamarul. Nampak gayanya tiada siapa yang mampu untuk membantu Muna.
“Kau janganlah risau Kamarul... dia dah dewasa... dah besar... tau mana dosa mana pahala, mana baik mana buruk... pandai-pandai dia sajalah...”
“Kadang-kadang aku rasa buang masa saja aku bercakap dengan pendebat macam kau ini... ini reliti hidup Am.. bukannya isi debat yang kau boleh olah untuk dapatkan perhatian hakim dan juri...” Kamarul mula panas.
“Aku bercakap atas kapasiti aku sebagai kawan satu sekolah dia... that’s it.. salah ke?” Abrisam bertanya.
“Di mana kapasiti kau sebagai saudara seagama?” Kamarul menangkis hujah Abrisam.
“Dan kau? Kau tak ada kapasiti sebagai saudara seagama dia?” Memang susah kalau nak menangkis hujah pendebat.
“Sudahlah Am... aku malas nak bertekak dengan kau lagi...” Kamarul bangun meninggalkan Abrisam sendirian di gerai itu.