Aku baru saja selesai telefon mama dengan ayah. Bagitau keputusan aku. Nampaknya mama dengan ayah menyokong tindakan aku. Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya aku dapat jugak obor pembakar semangat untuk aku bawak ke perbatasan UUM Sintok nun.. Ecewah.. madah berhelah.. Ayah pun ada bagitau aku dia ada kawan lama yang bertugas di UUM sana. Dr. Ahmad. Tak pulak dibagitau kerjanya apa kat sana.
Akmal dan Zaim akan join aku. Termasuk seorang junior tahun 2, Fatihah. Akmal dengan Zaim sebagai wakil debat. aku dengan junior tu syarahan. Dengar kata ramai juga kerabat fakulti aku akan pegi sana tak termasuk orang-orang besar universiti. Isy... gementar pulak rasa aku. Hmmm tapi aku dah buat keputusan dah. Prof Hisham pun dah dibagitau. Lagi pun aku yakin istikharah aku tu.
Latihan syarahan aku dijadualkan setiap hari Sabtu dan Ahad sebelah pagi. Nasib baik bukan aku sorang aje yang kena ikut latihan tu. Zaim dengan Akmal pun join sekali. Aku segan jugak nak jumpa dengan Prof Hamidah tu. Ye la kan. Mana biasa jumpa dengan Dekan Pusat Pengajian Bahasa. Dengar kata orang dia tu cerewet la apa lah. Tapi sepanjang lebih dua bulan dah aku hadir ke kelas latihan dia, kira standard lecturer biasa saja style dia. Memandai aje bebudak ni buat cerita palsu a.k.a fitnah dekat Prof Hamidah ini. Hubungan aku dengan dia pun dah jadi akrab; begitu jugaklah Zaim, Akmal dan Fatihah. Dah boleh keluar pergi makan dekat kafe semeja lagi.
Aha.. baru semalam ayah call. Dia cakap dia akan pegi UUM jugak. Nak tengok aku dengan pasukan. Mama pun akan ikut sekali. Dan seperti biasalah, kalau mama dengan ayah pegi mestilah cik adik aku si Usu tu ikut sekali. Kebetulan pulak time tu dia cuti semester. Wah, kira angkut geng jugaklah aku ni. Huhu. InsyaAllah aku akan cuba sebaik mungkin. Aku tak nak hampakan rakan-rakan sepasukan, warga universiti aku dan jugak keluarga aku. InsyaAllah kejayaan untuk tahun ke-4 berturut-turut.
------
Hari ini aku bersiap sedia untuk berangkat ke UUM. Kami akan menaiki penerbangan Malaysia dari Kuching ke KLIA sebelum menyambung penerbangan seterusnya ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas Alor Star. Lepas tu, naik bas UUM pulak ke kampus universiti tu di Sintok nun. Wah... mesti letih gila ni. Mahu sehari suntuk baru sampai. Blazer hitam dengan logo universiti terjahit kemas di sisi kiri tu aku tenung. Baru semalam Prof Hisham kasi blazer tu. Untuk aku pakai semasa pertandingan nanti. 'Blazer turun temurun' katanya. 3 orang johan syarahan sebelum ini pakai blazer tu la.
Aku menaiki pesawat Boeing 747-300 penerbangan Malaysia bersama rombongan universiti. Sebelum berangkat tadi, doa dibacakan oleh YDP IMI abang Nazirudin Hilmi. Dengar kata dia akan konvo tahun depan. Dua tahun tua dari aku. Antara pemimpin mahasiswa paling dihormati dan disegani di universiti aku. Sebut aje abang Nazir... semua orang kenal.
Aku mengambil tempat duduk di tepi tingkap pesawat. Dah jadik tabiat aku suka bebenor menengok keluar bila flight nak berlepas dan mendarat. Konon dulu-dulu nak jadi pilot. Tapi tak layak la pulak. Terjadi doktor. Hmm... macam Izah la.. Nak jadi arkitek terjadi doktor. Eh, tiba-tiba teringat pulak dengan 'Ustazah' tu. Tak nampak pulak dia dekat airport tadi. Ah, Kenapa pulak dia nak pergi airport. Nak hantar aku? Aku bukannya suami dia pun.. bukannya orang istimewa untuk dihantar-hantar macam dalam cerita tv tu. Melalok lagi..
Jam di tangan menunjukkan pukul 12.30 tengahari. Kira-kira dah 30 minit kitorang berlepas dari Kuching. Lebih kurang sejam 15 minit lagi nak sampai KLIA. Aku nampak Zaim dengan Akmal dah terlentok dah. Fatihah pulak nampaknya asyik membaca 'Going Places'; in-flight magazine. Aku membuka beg sandangku mengeluarkan discman. Earphone aku pasangkan ke telinga. Butang 'Play' aku tekan. Serentak dengan itu alam aku bergema dengan alunan lagu Balqis nyanyian UNIC. CD ini sempat aku beli kelmarin semasa keluar ke bandar. Selepas beberapa buah lagu berputar. Aku dah rasa mengantuk dah. Entah bila entah aku terlena.
'Tuan-tuan dan puan-puan, kita akan mendarat sebentar lagi. Sila kembali ke tempat anda, tegakkan tempat duduk dan pasangkan tali keledar. Pastikan meja telah dikembalikan ke tempat asal'
Ayat typical flight crew time nak mendarat. Huhu. Dah boleh hafal dah. Aku tersedar setelah dikejutkan oleh seorang pramugari sebelum pengumuman dibuat tadi. Aku mematikan discman dan menyimpannya kembali ke dalam beg sandangku. Aku memerhati keluar. Kelihatan macam biasa ladang kelapa sawit dan jauh nun di hujung sana; bandar Putrajaya. Dalam beberapa minit lagi aku akan mendarat di KLIA. Kulihat jam tangan menunjukkan pukul 1.45 petang. Elok-elok aje masuk waktu zuhur kat KL ini.
------
"Awak semua boleh la kalau nak jalan-jalan di KLIA ini.. flight kita ke Alor Star lambat lagi.. pukul 5.30 petang nanti. Kita berkumpul di surau tingkat 3 nanti.." Dr. Hafizah, Dekan Pusat Pemajuan Pelajar selaku ketua rombongan memberitahuku dan yang lain.
"Okeh..." balasku sambil menunjukkan isyarat tangan kepada Akmal dan Zaim untuk bergerak ke arah McDonald's. Lapar siot. Makan kat atas flight tadi bukannya kenyang pun. Ehehe.. typical Jenal.. Ingat flight tu kedai mamak ke? Dah la tadi makan sambil mamai terkejut dari tidur. Nasib baik akak pramugari tu kejut aku, kalau tak melepas la aku makan nasi beriyani. Hehe. Alhamdulillah.
"Ayah kau dengan mak kau kata nak datang UUM?" Zaim membuka bicara setelah kami membeli makanan di McDonald's. Langkah kami menuju ke arah sebuah meja kosong di tepi dinding.
"Malam ni diorang fly ke Alor Star..." balasku sambil meletakkan dulang di atas meja.
"mm.." balas Akmal mengangguk. Apa yang dia faham pun aku tak tau.
"Eh kau tak ajak Fatihah sekali ke? Kesian dia sorang-sorang.." Pertanyaan Zaim membuatkan aku hairan. Kenapa pulak tiba-tiba si Zaim ini jadik peramah. Tak ada ribut tak ada hujan, tiba-tiba saja banjir. Hehe. Falsafah siot.
"Seganlah aku... lagi pun dia mesti join Prof. Hamidah dengan Dr. Hafizah..." aku buat tekaan sendiri.
"Lepas ni nak pegi mana?" tanya Akmal.
"Kita pegi solat dulu.. lepas itu apa kata kita pergi KL Sentral kejap..." cadangku.
"Aku on je..." Zaim membalas.
"Okeh jugak tu.." Akmal menghirup oren.
Selesai makan dekat McDonalds kitorang pergi solat Zuhur di surau tingkat 3. Selesa sikit surau tu. Tak ramai sangat yang guna surau tu. Selesai solat, kami bergerak ke tingkat bawah untuk ke terminal KLIA Express. Bagi aku bukanlah sekali dua aku naik KLIA Express ni. Tapi bagi Zaim, ini kali pertama dia naik KLIA Express.
"Eh ramai la pulak orang hari ni.." aku mengomel sendirian sambil membelek tiket.
"Eh sure ke naik sebelah sini Nal? Karang salah tempat pulak sesat kita kat KL nun..." Zaim mengeluarkan ayat-ayat kebimbangan dia. Alahai Zaim.. Rilekslah.. KL ni dah macam tempat tidur aku dah. Takde maknanya nak sesat.
"Ello.. aku dah biasa naik KLIA Express ni la beb... jangan risau.. tapi sebab ramai ni, kau jangan melenggang pulak time tren sampai kejap lagi..." aku memberikan pesan. Ehehe. Pemandu pelancong yang berjaya.
"Nape pulak?" Zaim bertanya kebingungan.
"Sebab tren tu berhenti kat sini kejap saja. Kalau kau lambat... bye-bye lah" balasku.
Akmal tersengih melihat gelagat aku dengan Zaim.
Sementara menanti tren sampai aku membuka beg sandangku. Buku motivasi Anthony Robbins "Awakening the Giant Within aku keluarkan. Tapi..... dengan tak semena-mena pandangan aku tersentak melihat buku tu terbang ke udara dan pada masa yang sama beg sandang aku terleret dari bahu aku. Debuk... bahu aku terasa perit dilanggar seorang remaja lelaki yang aku tak kenal langsung. Kurang asam betul la mamat ni. Aku agak umur dia mesti dalam lingkungan 20 tahun macam tu. Dengan gaya selambanya dia cakap kat aku 'sorry bang...' tu saja.
Ingatkan nak tolong angkat beg aku ke.. kutip buku aku ke.. ini blah macam tu aje. Isy... nasib baik anak orang.. kalau adik aku buat macam tu, mahu kena pelempang doraemon dengan aku. Harapkan muka aje nampak baik. Perangai macam belacan.
"Isy.. mamat ni... kalau ikutkan hati aku mahu aku....." geramnye..
"Sabar Nal... dia tak sengaja tu.. tengoklah tu... dia macam emergency saja tu..." Akmal menenangkan aku dengan formula logik dia. Ermm memang nampak macam emergency aje mamat tu. Macam kena kejar dek hantu pocong... tengah-tengah KLIA yang moden ini ada ke pocong? Huhu... kena tanya Persatuan Hantu-hantu Se-Malaysia la agaknya...
"Ye la... emergency pun tengok-tengokla orang sikit... dah tu blah macam tu saja.. bukan nak angkat beg aku ke... apa ke.."
"May be dia belum join Kempen Budi Bahasa kot..." Zaim buat lawak dua kupang time-time tak berapa nak sesuai ini.
"Ah.. dah la tu... tak payah pikirkan sangat benda remeh-temeh tu.. kita nak pergi KL Sentral ni nak buat apa?" Akmal menukar topik.
"Ntah!" serentak aku dengan Zaim menjawab. Hehe. Tak tau tujuan la pulak dah kitorang ni.
"Erm... kita jalan-jalan la kat situ... kan ada kedai-kedai kat sana... kita buat lawatan sambil belajar saja la... apa susah sangat.. kan Nal kan?.. kan?.." Zaim menyambung bicara.
"Ha'ah... macam tak pernah buat kerja-kerja sosial tu..." balasku menyokong Zaim.
Hmmm... KLIA Ekspres tiba juga akhirnya lima minit kemudian. Kami naik di gerabak belakang sekali. Orang pun tak ramai sangat. Destinasi kitorang... KL Sentral. Nak jalan-jalan cari pasal kata orang...
Tengok-tengok apa yang patut.. beli-belah apa yang patut.. makan apa yang patut... dan lain-lain kerja yang patut.. Lepas tu.. kami naik KLIA Ekspres semula ke KLIA. Flight ke Alor Star 5.30 petang. Kami tiba semula ke KLIA dari KL Sentral jam 4.00 petang. Lepas solat Asar di Surau Tingkat 3 seperti yang dijanjikan dengan Dr. Hafizah, kami menuju balai berlepas pintu A10. Perlepasan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. Wah... tak sabar-sabar nak tengok negeri Jelapang Padi Malaysia ini. Ecewah... Teringat dekat Tok ngan Tokwan aku.
Sejam setengah kemudian, pemandangan sawah padi menguning terbentang luas saujana mata memandang. Trademark Negeri Kedah Darul Aman. Aku terpegun sebentar. Dalam seumur hidup aku belum pernah aku tengok sawah padi seluas ni. Kalau ada pun kat Tanjung Karang tu takdelah seluas yang di depan mata aku ini. Dengan gunung Jerai kat sebelah selatan.. pemandangannya memang cantik. Dan satu benda lagi... lapangan terbangnye kat tengah sawah padi. Tiba di lapangan terbang kami dijemput oleh pegawai UUM untuk bertolak ke Sintok. Kampus UUM.