Angin lembut meniup dedaun getah berterbangan ke sana ke mari. Redup sahaja kawasan itu. Tiada banyak rumah yang ada di situ. Selang beberapa kilometer baru berjumpa rumah lain. Kalau hendak berkenduri kendara, memang tidak boleh nak dibuat senang. Tetamu yang datang juga mungkin sesat mencari rumah itu. Tapi itulah rumah kesayangan empunyanya. Warisan berzaman. Pernah dulu posmen sesat ketika menghantar surat ke rumah itu. Nasib baik ada anak-anak jiran yang menunjuk jalan. Kalau tidak, mungkin tak baliklah posmen itu.
Dua anak kecil seusia awal belasan tahun sedang asyik bermain biji getah di atas pelantar kayu. Bertaruh biji getah siapa yang paling kuat. Biji getah siapa yang tidak akan pecah bila dikepitkan dengan tangan. Di atas tanah, bertaburan biji-biji getah yang sudah pecah dibuang. Jadi habuan makanan untuk ayam pula. Kitaran rezeki dariNya. Sedang asyik bermain, mata mereka tertumpu pada sebuah Perodua Kenari yang memasuki ruang laman.
“Pakcu... kereta sapa tu?”
“Mana Pakcu tau... buang air liur saja tanya Pakcu...” Tangan masih leka memecahkan biji getah.
“Eh dahlah tu Pakcu... Tu... Kakak lah...” Tangan adik bongsunya ditarik. Pakcu ikut tak membantah.
“
...” Abrisam turun dulu. Pakcu dan Pak Ei menjawab salam. Mata masih terpinga melihat Abrisam. ‘Sapa pulak ini?’ Hati bertanya.
“Pakcu... Pak Ei...” Muna turun dari pintu belakang. Senyum terukir di bibir.
“Ibu..! Ibu..! Kakak balik...” Pakcu dan Pak Ei serentak memanggil ibu mereka.
“Awak, kenalkan... yang ini Ahmad Yusri Affandi adik bongsu saya, kami panggil Pakcu...” Muna mengenalkan Pakcu yang berdiri dekat dengan Abrisam. Pakcu menghulurkan tangannya kepada Abrisam.
“Yang ini pulak Ahmad Ramadhan Fitri... adik saya juga... kami panggil Pak Ei...” Muna menyambung sambil menuding jari ke arah Pak Ei. Salam dihulur oleh Pak Ei. Abrisam menyambutnya dengan senyuman.
“Yang ini pulak Muna F....” Pak Ei bersuara sambil menuding jari ke arah Muna. Abrisam tergelak. Muna menjengil matanya.
“Pak Ei..!” Lengan Pak Ei ditampar Muna. Abrisam memandang sahaja gelagat Muna sambil tersenyum. Belum sempat lagi Pak Ei habis menyebut nama Muna.
Pertemuan pertama kali Abrisam dengan keluarga Muna. Seperti Muna bertemu buat pertama kali dengan keluarga Abrisam. Keluarga ini istimewa. Walau pun bukan keluarga berada tapi kaya. Kaya dengan kasih sayang, akhlak, sopan, adab, adat dan yang paling istimewa kaya agama.
“Syed ini satu sekolah dengan Muna ka?” Puan Asiah menghulurkan sedulang air kopi. Duduk bersila sahaja di atas tikar mengkuang yang sudah lusuh. Tiada pendingin hawa atau kipas di siling.
“Ye makcik, tapi kelas lain-lain...” balasnya. Puan Asiah mengangguk. Senyum terukir di bibir.
“Minumlah dulu Syed... sat lagi kita makan nasik... Muna tengah masak tu...” Ibu Muna mengunjukkan cawan plastik tak berpiring itu merapati sila Abrisam.
“Eh, tak payahlah susah-susah makcik, saya datang ini tolong hantarkan Muna saja...” Abrisam mengambil cawan itu.
“Takpa, makanlah dulu... dah dekat tengahari ini...” Pelawa Puan Asiah sekali lagi.
“Abang Syed... makanlah dulu... lagi pun SP dengan Alor Star bukannya jauh... sejam lebih saja...” Pak Ei menyampuk. Puan Asiah tersenyum melihat anak keduanya yang sibuk menyiapkan layang-layang di sudut rumah.
“Ibu... tok nak buang air...” Tiba-tiba muncul Pakcu dari dalam bilik.
“Nanti sat...” Puan Asiah bangun menuju ke dalam bilik.
Abrisam juga bangun melihat-lihat keadaan di dalam rumah itu. Tiada kelengkapan yang sesempurna rumahnya. Tapi mereka mampu hidup tenang.
“Abang Syed... reti main wau idak?” Pak Ei bersuara. Tali tangsi diikat ke teraju layang-layangnya.
“Taklah reti sangat, tapi setakat main begitu-begitu bolehlah...” Abrisam duduk di sebelah Pak Ei. “Wau apa ini Pak Ei?” Pelik benar bentuk layang-layang tu.
“entah... Pak Ei pun taktau... main bedai buat saja...” Tersengih.
“Pak Ei sekolah kat mana?”
“Sekolah kat luar kebun ini... dekat jalan besar nun...” Tangannya menunjuk ke arah luar. Entah arah mana pun Abrisam tak tahu.
“Ooo... Darjah berapa?”
“Hehehe.. tingkatan satu lah Abang Syed... ingat Pak Ei sekolah rendah ka?” Dia tergelak kecil.
“Sorry... abang tak tau...”
“Takpa... Pak Ei ini saiz kecik... tu yang semua orang kata sekolah rendah tu... tapi takpa, size doesn’t matter.. kata omputih...” Pak Ei tersenyum.
“Tak ada kawan-kawan ka Pak Ei?” tanya Abrisam lagi.
“Mana nak ada Abang Syed... dok dalam hutan getah macam ini rimau ada lah... nak pergi rumah kawan pun sebatu baru jumpa satu... baik dok di rumah main dengan Pakcu...” Pak Ei menggigit lebihan tali tangsi yang diikatnya tadi. Dia menimbang-nimbang layang-layang itu.
“habis Pak Ei pergi sekolah? Macam mana?” Tanya Abrisam. Berminat nak tahu.
“Pakai mutu...”
“Mutu? Orang datang ambik ka?” Abrisam bertanya lagi.
“Mutumit lah abang...” Balas Pak Ei tergelak.
“Jalan kaki?” Abrisam terpinga mendengar jawapan Pak Ei. Biar betul budak ini. Jalan kaki keluar kebun getah ini dah berapa jam baru nak sampai jalan besar.
“A’ah... dah biasa lah abang Syed... tak hairan sangat dah...” Pak Ei selamba saja menjawab.
“Pagi-pagi pergi sekolah pukul berapa?”
“6 pagi jalan keluar... 6:45 sampai jalan besar, lepas itu jalan shortcut pergi sekolah lagi setengah jam... 7:15 sampai sekolah...” jawab Pak Ei. Ternganga Abrisam mendengar.