Thursday, January 05, 2006
KT5 Vol 1 [Part 5]

 

 

   Ketenangan pagi disapa bayu pantai. Syahdu rasanya. Diiring kicau unggas bersahut-sahut pula nyanyian ombak China Selatan menghempas pantai Santubong. Cewah.. Kesusasteraan lah pulak.

      Pagi ni kami semua akan mengikuti program seterusnya. Merentas Desa. Antara aktiviti yang paling aku tunggu-tunggu dalam perkhemahan ni. Semenjak di bangku sekolah menengah lagi aku giat mengikuti aktiviti-aktiviti macam ni. Terutama sekali lepas aku join persatuan beruniform paling aktif kat sekolah aku dulu. Apa lagi kalau bukan Pengakap.

      Aku awal-awal pagi lagi dah ready. Sejak lepas solat Subuh pagi tadi aku dah bersiap. Teringat pulak kenangan-kenangan lama aku time pergi perkhemahan dulu. Hehe. Poyo lah pulak bunyinya.

      "Hari ni kita semua akan menjalani latihan fizikal Merentas Desa… kita akan ikut denai-denai di hutan sana… pastikan semua berada di dalam kumpulan masing-masing… jangan sekali-kali berpecah walau apa pun keadaannya…" tegas En. Bahari.

      "Kami sediakan bagi kamu semua barang-barang asas iaitu sebilah pisau, sekotak mancis, peta dan kompas…" sambung Pn. Salbiah.

      "Kamu akan bermula dari tapak perkhemahan ni dan kita akan bertemu di tempat bertanda 'X' di dalam peta tu… kamu kena buat keputusan sendiri untuk memilih jalan untuk sampai ke 'X'… Pastikan barang-barang serta ahli kumpulan kamu sampai ke 'X' dengan baik… dan… ada lagi satu… setiap kumpulan kena bawak sebiji telur ayam bersama dan jaga telur tu dengan baik.. jangan sampai pecah…" Arahan dari Pn. Salbiah seterusnya.

      "Kalau ada yang pecah… seluruh ahli kumpulan akan didenda…ada apa-apa soalan?" sambung En. Bahari lagi.

      Fuyyo.. boleh tahan jugak jauhnya kawasan 'X' tu. Peta pun macam hampeh saja. Lukis dengan tangan lepas itu fotostat bebanyak. Kedekut betul.

   Semua masing-masing tidak bersuara. Nampaknya faham lah agaknya. Kepala otak aku ligat memikirkan apa tindakan pertama yang perlu aku buat sebagai leader. Semua pelajar berpecah mengikut kumpulan masing-masing. Aku berkumpul di bawah pondok rehat di tepi bilik Urusetia.

      "Nak buat apa sekarang ni?" tanya Aldrine sambil belek peta. Takkan lah nak basuh baju pulak. Apa dah…

      "Kita nak pergi ikut jalan mana satu?" tanyaku. Ada lima jalan yang ditanda dalam peta tu. Semuanya nampak macam gila babas mencabar saja. Tu baru dalam peta belum kenyataan lagi.

      "Takde jalan paling pendek ke?" tanya May Ling sambil menggaru-garu kepala.

      "Ada... naik helikopter..." Ambik sebiji hadiah dariku waktu pagi-pagi macam ni.

      May Ling menjuihkan bibirnya. Aku tersengih sopan. Huhu.

      "Eh... kita nak buat macam mana dengan telur ayam ni? Kalau pecah tak sanggup aku..." tiba-tiba Intan bersuara.

      "Meh aku tengok sikit telur tu..." pinta Aldrine. Dibeleknya telur ayam tu. Macam kera tengok bunga lah pulak.

      "Eh... ada cop fakulti lah..." tiba-tiba Aldrine menunjukkan pada Shanti logo fakulti yang dicop pada permukaan telur ayam itu.

      "Alamak... payahlah macam ini kan..." balas Shanti.

      "Korang nak buat apa?" tanya Pejol terpinga. Ntah. Aku pun tak paham sebenarnya. Tapi control macho saja. Hehe.

      "Ala macam tak pernah buat. Kalau pecah telur ni, apalagi.. singgah kedai beli telur baru lah... tapi dah ada cop ni kantoi lah.." balas Aldrina tersengih. Ceh. Aku ingatkan budak lelaki saja buat kerja-kerja keji macam tu. Bebudak perempuan pun buat jugak ke. Kureng betollah minah ni.

      "Ala.. apa susah... kita balut saja dengan kain tebal.. sure ok punya... masukkan dalam beg Izah tu.." cadang Shanti sambil menuding jari pada beg sandang Izah. Hmmm boleh tahan jugak cadangan meenachi ni.

      "Erk..." Izah tersentak.

      "Kenapa Izah? Boleh tak?" tanyaku.

      "Er... bolehlah..." balasnya.

      Kumpulan kami memilih jalan B untuk menuju ke kawasan 'X'. Terasa macam dalam Survivor pula. Kekeke. Dengan persiapan yang serba kekurangan, Kami memulakan perjalanan. Aku mengarahkan Pejol mendahului diikuti Shanti, Izah, Intan, Aldrine dan May Ling. Aku berada di belakang sekali. Perjalanan setengah jam pertama tidak menimbulkan sebarang masalah. Kami melalui kawasan datar sahaja. Hutan semakin lama kelihatan semakin tebal. Laluan kami terpaksa ditebas dahulu oleh Pejol di hadapan. Masing-masing senyap saja.

      "Shanti!! Izah!! Intan!! May Ling!! Berhenti!!!!" jeritku.

      "Jangan gerakkan kaki!!!" sambungku. Semua terhenti terpaku macam patung. Pejol kat depan pun sama. Aldrine menoleh ke arahku. Aku menunjukkan isyarat senyap. Beberapa ketika kemudian...

      "Ok... dah boleh jalan.." Aku memberi arahan.

      "Kenapa Nal?" tanya Intan sambil berpaling padaku.

      "Takde pape..." balasku. Sebenarnya baru saja lepas ular hutan lalu betul-betul depan kaki 'Ustazah'. Taknak lah aku nak gabrakan lagi mereka. Kalau bagitau dah tentu melompat semuanya. Takkan nak tengok 'Ustazah' melompat kot? Huhu. Boleh buat lawak lagi kau Jenal... Hmmm..

      Sejam berjalan meredah hutan tu tibalah masanya kitorang melalui jalan-jalan sukar. Ecewah... macam buat laporan Majalah 3 pulak. Hehe. Kitorang kena panjat bukit licin dengan batu-batu gedabak. Dan kalau ikutkan peta tu, lepas saja bukit tu kitorang akan lalui kawasan air terjun.

      Seperti tadi aku di belakang sekali dan Pejol di depan sekali. Tiba-tiba Izah berhenti...

      "Kenapa ini?" tanya May Ling.

      "Saya letih lah.. kita berhenti sekejap boleh tak?" katanya. Ler... bila nak sampai kalau macam ni? Baru sejam lebih dah letih.

      "Macam mana Jenal?" tanya Shanti.

      "Kita berehat dekat kawasan air terjun. Terus panjat" arahku. Erk.. kejamnye.

      "Tapi Izah? Rehat kejap takkan tak boleh?" bantah Aldrine.

      "Bila nak sampai kalau macam ni? Sekarang dah tengahari" balasku tegas.

      "Tapi awak mesti consider jugak... tangan dia cedera.. awak pun tahu kan..." kata Shanti.

      "Saya kata terus.. terus saja lah... siapa ketua sebenarnya ni?!" suaraku meninggi. Astaghfirullah.. Aku gagal kawal emosi.

      "Tapi..." Intan belum sempat menghabiskan ayatnya...

      "Takpelah... saya rasa boleh lagi ni.. jom.." Izah menghentikan Intan. Lantas ditariknya tangan Intan sambil menguntum senyum padanya.

      Erk.. alamak.. rasa bersalah pulak. Ah.. lantaklah. Sape ketua sebenarnya. Aku ke diorang? Kenalah patuh arahan ketua.

      Pejol terhenti memandang cerun bukit yang curam di hadapan. Akar-akar kayu berlumut melurahi cerun. Aku melihat keadaan cerun.

      "Kena pakai tali ni untuk panjat..." kataku.

      "Mana ada tali dalam hutan macam ni" balas Aldrine.

      "Kita buat tali.." sahut Pejol.

      "Ha? Buat tali?" tanya Intan kehairanan.

      "Ye lah... kan Jenal?" balas Pejol. Aku mengangguk.

      "Kau tau buat tak?" tanyaku semula.

      "Bolehlah... kalau ada bahannya.." katanya yakin.

      "Intan, Izah dan Aldrine... cari akar pokok ini banyak-banyak, Shanti dan May Ling pintal akar-akar ini buat tali.." arahku sambil menunjukkan akar pokok hutan ditangan. Aku menyerahkan sebilah pisau bekalan En. Bahari kepada kumpulan Intan.

      "Nak banyak mana?" tanya Aldrine.

      "Sebanyak mungkin... 15 minit lagi kumpul kat sini.." kataku.

      "Okeh" balas Intan.

      15 minit berlalu Intan, Izah dan Aldrine masih belum kelihatan. Aku sebagai ketua dah mulai rasa risau. Maklumlah hutan ni bukannya boleh buat main. Jam di tangan sudah berganjak petang. 

      "Mana mereka ni? Lamanye cari akar tu..." getus May Ling.

      "A'ah la kan... dah lebih setengah jam dah ni..." Shanti pula menyampuk. Pejol mengangkat keningnya tanda bertanya pada aku. Eh, mana aku tau ke mana diorang tu.

      "Macam mana ni Nal... dah lama sangat diorang ni... aku takut diorang sesat aje." Getus Pejol. Aduh diorang ni. Menyusahkan betul lah. Kalau dah tak biasa dalam hutan ni janganlah pergi jauh sangat. Eii geramnya.

      "Macam ni sajalah. Kau tunggu sini. Biar aku pergi cari diorang" balasku lantas bangun dari tempat duduk.

      "Eh tu bukan Izah ke tu?" tiba-tiba Shanti bersuara. Aku menoleh ke arah yang ditunjukkan Shanti.

      "Ha'ah lah. Aldrine dan Intan pun sekali tu. Wah.. banyak betul akar mereka dapat" sampuk May Ling.

      Aku dah geram tahap gaban dah ni. Melanggar kata ketua. Ah lantaklah. Siaplah korang. 

      "Korang ni memang tak bertanggungjawab langsung tau!! aku bagi masa 15 minit saja korang dah buang masa 45 minit!!" bentakku sesampainya mereka dekat tempat kitorang berkumpul. Berubah wajah Izah tiba-tiba melihat aku marah. Rasakan.

      "Maaflah Nal... kami memang nak balik tadi tapi Izah pulak nak kutip bunga hutan tu.. jadi kami temankan dia sekejap.." Intan memberikan alasan.

      "Awak ni dari semalam lagi asyik cari bunga hutan tu!! Kalau dah suka sangat duduk aje dalam hutan ni!! Tak payah susah-susah kutip bunga tu!!" Mataku memandang tepat ke arah Izah yang tunduk memandang kasut sukan Nike berwarna putih yang dipakainya.

      "Sudahla tu Nal.. gaduh pun tak ada guna.. buang masa saja.. kita dah lewat ni.." Pejol menenangkan aku pulak.

      "Bukan masalah gaduh atau apa? Patuh pada ketua tu penting dalam keadaan macam ni.. tak taulah pulak kalau IMI tak ajar kepimpinan diorang tentang benda simple macam ni". Aku menyindir Izah yang menjadi Naib Yang Dipertua II IMI. Muka Izah tiba-tiba merah padam memandang aku. Selamba aje aku buat-buat tak nampak.

      "Sebab bunga tu jugaklah semalam awak jatuh kan?! Sampai luka-luka di tangan tu.. hari ini awak buat hal lagi.. pasal bunga tu jugak..!" bentakku sambil menuding jari ke arah segenggam bunga orkid hutan berwarna putih bersih di tangan Izah. Satu per satu kuntuman orkid tu jatuh ke tanah terlepas dari genggaman Izah. Semua yang hadir terpaku melihat tingkah aku yang agak pelik dari Jenal yang selalunya cool di dalam kuliah.

      "Sudahla tu Jenal.. Bila kita nak sampai kalau asyik sindir menyindir tengah hutan macam ini.." tegur May Ling pula.

      Kulihat kelopak mata Izah dah mula bergenang dengan air jernih. Erk... kejam lah pulak aku hari ni. Astaghfirullah.. aku gagal lagi kawal nafsu ammarah. Jauh di sudut hati aku tak berniat nak meninggikan suara pada Izah. Bukan kerana dia NYDP II IMI, tapi entahlah. Aku risaukan sesuatu yang buruk berlaku aje. Tapi mungkin salah aku juga tak dapat menjadi ketua yang menegur dengan hikmah. Hmmm...

      Tali akar yang kami pintal membantu kami memanjat bukit. Seorang demi seorang dari kami memanjat dengan selamat. Aku yang terakhir memanjat. Kami meneruskan perjalanan menuju ke arah air terjun.

      "Kita berehat kejap kat tepi air terjun ni" arahku pada semua ahli kumpulan.

      Semua berhenti dan meletakkan barang masing-masing. Sepanjang perjalanan tadi tiada sepatah kata pun keluar dari mulut semua orang. Agaknya masih terkesan dengan kata-kataku tadi. Hmmm...

      "Nal... aku cakap sikit kau jangan marah ye..." Pejol merapati aku yang duduk di atas batu di tepi aliran air.

      "Ape?" tanyaku semula.

      "Ape yang kau cakap tadi memang betul... tapi aku rasa kurang sopan bahasa kau tadi... sebagai muslim dan sekarang ketua, kau kena tunjukkan kepimpinan dan teladan terbaik untuk ahli kumpulan... aku rasa Izah terasa hati dengan sindiran kau tu.."

      "Ermm..."

      "Nal. Aku tegur kau bukan sebab nak tunjuk baik, tapi sebab kau kawan aku dan juga sahabat seusrah dengan aku... jadi tanggungjawab aku untuk tegur something yang aku rasa tak elok kan?" Pejol menepuk bahuku. Aku memandang ke arah Izah yang duduk di tepi gigi air tak jauh dari tempat kami.

      "Jol... aku minta maaf.. aku memang tak berniat langsung nak sindir Izah tadi tu.. tapi ... hmmm tak tau nak cakap macam mana yang aku rasa..." balasku kembali memandang ke aliran air sungai.

      "Kau bukan bersalah dengan aku... tapi Izah... memang salah melanggar arahan ketua... tapi cara menegur pun mesti kena pada tempatnya.. matlamat tak menghalalkan cara Nal..." sambung Pejol. Aku tertunduk.

      "Terima kasih Jol.." Tu aje yang dapat aku ucapkan pada sahabat aku ni.

      "Dahla.. bila nak gerak ni? Dah pukul 2.30 petang ni..." tanya Pejol.

      "Kita solat Zuhur dulu... lepas itu kita gerak.. tolong bagitau mereka ye.." aku memberitahu Pejol.

      "Okeh.." Pejol bangun menuju ke arah Izah dan Intan kemudian memberitahu sesuatu. Izah dan Intan mengangguk. 

            ------

      "Kita menantikan satu lagi kumpulan terakhir.. yang belum sampai.." Encik Bahari menerangkan pada semua kumpulan yang telah tiba di kawasan 'X'.

      "Ala cik Bahari ni... bagilah kitorang rehat kejap..." Suhaimi menyuarakan usul.

      "Okeh... awak semua duduk kat kawasan ni aje.. mana-mana kumpulan yang tak cukup ahli time saya call kejap lagi.. dikira kalah.." terang En. Bahari.

      Semua pelajar berpecah. Suhaimi dan Izham duduk di atas sebatang tunggul reput.

      "Eh.. Mie.. group Jenal yang belum sampai kan?" Izham bersuara.

      "A'ah.. siap lah kena denda..." Suhaimi tersengih.

      "Isy... setahu aku Jenal terror bab-bab jungle tracking ni... takkan sesat kot?" balas Izham.

      "Ntah lah... agaknya Jenal dah tersalah baca peta sebab 'Ustazah' cute dia ada sekali kot..." balas Suhaimi.

      "Ehehehe" serentak Izham dan Suhaimi ketawa terkekeh-kekeh.

            ------

      Seperti yang dijangkakan group aku sampai paling lewat. Dan seperti yang dijanjikan juga lah group kitorang kena denda. Isy... malu siot. Tapi nasib baiklah dendanya kira ok lah. Memasak untuk semua group. Hehe. Yang pasti bukan aku lah yang masak. Aku tolong-tolong apa yang patut ditolong aje. 

      "Zainal... saya minta maaf.."

      "Erm..?" Aku buat-buat tak dengar. Hihihi. Sambil potong bawang besar.

      "Saya minta maaf. Sebab saya group kita lewat.. dan kena denda macam ni.." sambungnya.

      "Hmmm... takpelah awak... dah nasib kita jadik tukang masak.." balasku sambil tersenyum padanya. Dia senyum kembali.

      "Tapi saya rasa bersalah sangat..."

      "Dah lah tu.. benda dah jadi pun.. saya tak ambik hati pun.."

      "Tapi..."

      "Er... saya pun nak minta maaf.. pasal bunga tu.. saya tak berniat langsung nak sindir awak.. sorry ye.." aku menghulurkan semangkuk bawang yang siap dipotong padanya. Dia mengambilnya dan mencuci.

      "Takpe.. saya tak ambik hati.. memang salah saya.."

      "Tapi nape awak suka sangat bunga orkid hutan tu?"

      "Ntah.. suka.. tu aje.." balasnya tersenyum.

      "Oic..." balasku sambil tersengih juga. Huhu.

      "Tapi Zainal nampak garang betul waktu tu.. seram rasanya.." katanya lagi.

      "Ye ke? Saya pun tak sangka saya garang..." balasku tersengih lagi.

      "Ehehe aura ketua agaknya..." balas Izah.. Aku hanya mampu tersengih.

            ------

      Perkhemahan kami berakhir 3 hari kemudian dengan jayanya. Semua pelajar berpuas hati dan penuh rasa lega. Termasuklah aku. Hehehe. Lepas satu bab. Lepas ini aku dengan kawan-kawan aku akan meneruskan tabiat kitorang semua. Mengadap buku-buku. Kadang-kadang naik biru bijik mata membaca buku. Isy.. biru mata putihku.. hehe. 

      Kuliah pengenalan kepada tahun 4 mengambil masa selama 2 minggu. Sepanjang minggu itu aku dan rakan-rakan sekuliah asyik melangok kat dalam dewan kuliah dari pagi sampailah ke petang. Boring tak dapat nak aku gambarkan dah. Tahap petala lapan bak kata Kinobaik. Huhu. Tapi aku gagahkan jugak bijik mata ini terbeliak dan aku cuba juga gegarkan gegendang telinga ini untuk dengar juga kuliah-kuliah tu. Walau pun majoritinya semua terlentok dalam kuliah. Ehehe termasuklah 'Ustazah' cute tu. Keskeskes.

      Dua minggu memang tak lama. Kata orang pejam celik pejam celik dah habis seminggu. Tapi tu kata orang. Kata kambing, kucing, gajah dan harimau belang belum tahu lagi. Hehe. Terbengong sikit kepala otak aku ni. Berasap macam dapur KFC yang aku selalu pegi tu. Hehe. 

      Seluruh pelajar tahun 4 dibahagikan kepada empat kumpulan. Aku, Najib, Suhaimi dan Izham ditempatkan di dalam kumpulan District Hospital and Family Medicine posting a.k.a District Posting. Dan...... seperti yang korang jangkakan... 'Ustazah' tu pun sekali. Hihihi. Agaknya dah takdir kot. Kitorang sentiasa dimasukkan dalam satu kumpulan selalu. Ehehe. Perahsantan. 

            ------

      "Nal... pegi tak malam ni?" sapa Suhaimi sebaik saja nampak aku keluar dari kafeteria. 
  

      "Pegi mana pulak?" tanyaku. Sandwich di tangan masih belum sempat aku sumbat ke dalam mulut.

      "Hmmm takkan pegi disko pulak... usrah lah..." balasnya. Suhaimi menghulurkan sekeping sampul surat berwarna hijau muda. Erk... apa benda pulak dah ni.
   

      "Macam aku selalu ponteng saja kau ni.. mestilah pegi". Aku menyambut sampul hijau.    

      "... apa ini?" sambungku.

      "Kau datang usrah malam ni.. kita meeting penting.. amanah Najib jangan bukak lagi sampul tu.." balas Suhaimi. Ek elleh... main secret-secret lah pulak diorang ni. Buat suspen aje.

      "Ha?!" aku terpinga.

      "Jangan lupa bawak sampul tu malam karang... ok.." pesan Suhaimi sambil berlalu pergi. Membiarkan aku terpacak terpinga-pinga.

            ------

      Pertemuan usrah malam ini jadi suspen pulak buat aku. Sampul hijau tu macam pernah aku lihat.. tapi di mana ya.. ehehe.. tapi ye lah.. memang aku pernah nampak.. tapi tak ingat pulak bila. 

      Pengisian usrah adalah sama seperti sesi sebelum ini juga. Cuma aku dikejut berukkan oleh pengumuman Najib. Ermm tentang sampul hijau tu.

      "Buat semua sahabat, terutama Zainal... pihak Jemaah Syuraa IMI dah memberikan cadangan untuk mencalonkan Zainal bertanding dalam pilihanraya IMI bulan depan..." umum Najib.
   

      Ha?!! Biar betul bebudak IMI ini? Dah buang tebiat ke? Dah tak ada orang lain ke nak pilih. Aku?!! Oh... tiiiiiiidaaakkkkkkkk!!!! Seramnye dengar... patutlah aku macam pernah nampak sampul hijau tu. Borang pencalonan pilihanraya IMI. Aku nampak dalam fail Izah dulu. Ha?!! Izah??!! Fail Izah!!! Minah ni memang selalu kacau hidup aku. Ni yang buat aku naik angin ni.

      "Assalamualaikum... awak sini kejap!" aku memanggil Izah yang sedang duduk di meja di sudut kafeteria. Teman Izah di meja; Rohani, Farihan dan Nadirah memandang pelik dengan tindakan aku. Lantaklah. Peduli apa aku.

      "Waalaikumussalam... ada apa hal ini?" balasnya.
   

      "Eh... awak kan yang calonkan saya masuk IMI tu kan?!!" suaraku memenuhi kafeteria.

      "Erm ye... Kenapa?" balas Izah memandang aku bersahaja.

      "Awak dah tak ada kerja lain ke dari menyusahkan hidup saya?! Awak tau kan saya tak suka dibuat macam ni.." sambungku. Dalam perlembagaan IMI, sekiranya seseorang calon itu dicadangkan oleh Jemaah Syuraa IMI maka secara automatik dia akan dilantik menjadi Yang Dipertua IMI. Dan selama 13 tahun IMI wujud di kampus aku ni, 13 orang Yang Dipertua IMI sebelum ini telah dipilih secara syura oleh Jemaah Syuraa.

      "Kenapa pulak? Awak layak Zainal.. kami pilih awak bukan main hentam aje.. kami ada kriteria pemilihan.." balas Izah.

      "Saya nak bagitau awak kat sini.. saya takkan terima... takkan!!!! Awak faham??!!!" balasku. Terbeliak biji mata Izah memandang tindakan aku.

      "Kami pilih awak sebab peribadi awak yang bersih, pengalaman dalam kepimpinan yang awak ada, wawasan dan visi yang kami dapat nampak dari dalam diri awak tu... bukan sebab thiqah saja menjadi kriteria utama...awak nak tengok IMI dipimpin oleh orang yang thiqah tinggi tapi lemah dalam kepimpinan?" Eh.. tanya aku pulak 'Ustazah' ni.

      "Setahu saya thiqah yang tinggi dah memadai untuk dilantik menjadi pemimpin!! Dan saya kekurangan di sudut tu... awak faham tak? Awak tengoklah cara saya layan awak macam mana? Ni ke namanya peribadi baik?" Aku mempertahankan keputusan aku.

      "Saya tahu awak bukan sengaja layan saya macam ni, saya juga tahu awak seorang lelaki yang baik akhlak... cuma tak nampak di mata orang ramai saja.." balas Izah.

      "Zainal, maaf kalau saya menyampuk hal awak dan Izah... mungkin awak lupa bahawa Nabi pernah menolak permintaan seorang sahabat untuk mendapatkan jawatan dalam pentadbiran Baginda... bukankah sahabat Nabi semuanya tinggi thiqahnya? Tapi Nabi juga memandang ciri-ciri kepimpinan yang lain yang penting sebagai pemimpin..." Farihan yang merupakan ketua Naqibah IMI menyampuk.

      "Betul apa yang Farihan cakap tu..." belum sempat Izah menghabiskan ayatnya...

      "Saya takkan... takkan... takkkaaann terima.. faham!!? Cakap kat Jemaah Syuraa saya tolak!!! Saya tolak!!!"

      Dengan tak semena-mena nya...

      "Woi Nal!!!!?? kenapa ni??!! apa yang tolak tolak pulak ni?!" Tiba-tiba aku terdengar suara roommate aku si Zaim. Aku membuka mata. Erk allamak.. aku mimpi rupanya. Fuh, nasib baik mimpi aje.

      "Wei apa yang kau tolak??!! Terjerit-jerit pagi-pagi buta macam ni.." sambung Zaim.

      "Errr tak ada apa-apelah Im... dah subuh ke?" tanyaku dengan muka cekodok basi.

      "setengah jam lagi.. bangunlah..." Zaim meninggalkan aku yang masih mamai lagi.

      Hmmm nasib baik aku mimpi aje. Kalau betul-betul aku dilantik jadi YDP IMI mampus. Fuh... lega bila kembali ke alam nyata. Hehe. Bengong betul. Muka macam aku nak jadi YDP IMI ke? Hihihi.. apa pasal lah aku semenjak dua menjak ini asyik dok ingat kat 'Ustazah' ni? Sampai masuk dalam line mimpi aku pulak dah ni. Angau ke? Takkan macam tu pun kira angau kot? 

            ------

      "Nal, nak pergi mana laju sangat tu?" sapa teman baik Izah si Rohani. Agaknya budak perempuan zaman moden ni tak reti nak bagi salam dah kot? Main redah saja tegur orang. Nasib baik aku punya jantung still sihat kalau tak, mahu terkeluar jantung jatuh atas lantai fakulti yang berkilat-kilat ini.
   

      "Oit... nak pergi library... ada apa-apa boleh saya bantu cik Rohani?"

      "Oooo pergi buat apa kat library tu?

      Aik? Dah senget ke cik Ani ni? Takkanlah aku nak jual burger pulak kat situ. Study lah.

      "Nak jual kereta kat situ.. ermm kalau tak laku aku nak bukak restoran McDonalds dalam library tu.." balasku.

      "Ek elleh... Nal.. Nal... macam aku tak tau... buat-buat tak tau pulak dengan aku..." balas Rohani berteka-teki. Apa pulak aku buat-buat tak tau. Memang tak tau pun. Bak kata Imam Syafie tu.. orang yang pandai adalah orang yang tau dia tak tau. Macam aku lah. Hehehe.. masuk bakul, tekan butang naik lif.

      "Ape pulak tak tak tau cik Ani oi... memang tak tau.. amendenye?"

      "Eleh... baru saja tat sat cik Izah kita pegi library... ni encik Jenal pulak nak pegi library... ehem.. ada apa-apa ka? Takkan tarappappa kot?" Rohani mengangkat kening ala-ala akak Ziana kita. Pulak dah.. Gosip lagi ni.. Takkan nak pergi library pun ada paparazzi jugak? Punggah lah macam ni.

 

Posted at 03:33 pm by hafeiz suhaimi

 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments





Previous Entry Home Next Entry

   













pelawat sedang berkhayal





Semenjak 27 Mac 2007 1240 p.m.

View My Stats










Kuliah Tahun 5


[ 1] [ 2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][Finale]

Kisah benar yang dilayarkan ke arena penulisan...
Permulaan yang tak pasti...
Pengakhiran yang masih samar...
Jenal dan Izzah...
Sama-sama mencari kepastian yang menanti di hujung jalan...





Kuliah Tahun 5 Volume II

[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][Finale]

Persoalan hati adalah milik Allah, serahkan saja pada Pemiliknya...
Usu dan Ashraff menempuhnya untuk pengajaran yang lain...
Bila persahabatan dan cinta kesamaran,
nantikan masa dan jarak menentukannya...




Namaku Muna

[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][Finale]

Lontarkan isi hatimu, biar seluruh alam mendengarnya...
Berbisiklah pada maya, walau tiada siapa yang sudi mendengar...
Kerna jika kau tidak bersuara, semuanya menjadi sepi...






Namaku Muna II


[Intro][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12 & 13][14 & 15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32]


Langkahku menjadi kaku..
Musim berlalu terasa seperti angin lalu..
Engkaukah yang mengetuk pintu hatiku..?
Atau aku yang bermimpi di hujung senja..






Aku dan Dia
[Prolog][Satu][Dua][Tiga][Empat][Lima][Enam][Tujuh]






Kisah Adam dan Zulaikha

Kisah Adam dan Zulaikha 1
 
Kisah Adam dan Zulaikha 2
 
Kisah Adam dan Zulaikha 3
 
Kisah Adam dan Zulaikha 4
 
Kisah Adam dan Zulaikha 5
 
Kisah Adam dan Zulaikha 6
 
Kisah Adam dan Zulaikha 7
 
Kisah Adam dan Zulaikha Finale

Tak semestinya cinta itu lahir dengan kelembutan gadis, kemachoan lelaki. Dan jatuh cinta ketika terlihat si dia dalam postur yang menarik. Cinta itu penuh dengan kesunyian, ia mengejar dalam hitam, dan dicari dalam putaran masa yang berlainan arah. Yang menjadi persoalannya, relakah kau mengejarnya?







If you want to be updated on this weblog Enter your email here: