Satu.. Dua.. Tiga.. Empat..
Jam di dinding dorm berdenting dua belas kali. Tandanya hari baru sudah menjelma. Juga bermakna semua dorm mesti mematikan lampu masing-masing. Begitu juga dengan dorm Khadijah A1. Semua penghuni menarik selimut masing-masing.
Dan di dalam gelap samar cahaya koridor itu...
“Muna... Muna...” Suara orang berbisik mengejutkan Muna yang baru sahaja hendak tidur.
Muna bingkas bangun. Dia memandang sekeliling. Tiada siapa yang kelihatan. Dia baring semula. Mungkinkah dia sudah lena dan di alam mimpi? Muna membaca Basmalah. Mata dipejamkan semula.
“Muna... Muna...” Suara wanita itu bergema semula di telinga Muna.
Muna bangun sekali lagi. Kali ini hatinya sedikit gusar. Siapa pula yang memanggilnya di tengah-tengah malam begini? Dipandangnya ke sekeliling beberapa kali.
“siapa tu?”
Muna memberanikan dirinya bertanya. Mana tahu memang ada orang yang memanggilnya.
“Lailina ini... kat luar dorm... Muna buka pintu kejap..” Suara Lailina makin jelas di telinga. Muna melepas nafas lega. Dia bangun menuju ke arah pintu dorm. Perlahan-lahan dia membuka pintu. Lailina tercegat di hadapan pintu.
“....” Muna memandang Lailina tak beriak. Maknanya ‘ada apa?’
“Lina dah tahu...” pendek jawabnya antara berbisik.
“Apa?” Muna duduk di atas katilnya. Lailina turut menghempaskan punggungnya di sebelah Muna.
“Temankan Lina pergi Makmal...”
Muna tergamam. Tidak pernah dibuat orang pergi ke makmal tengah-tengah malam buta begini. Bukan kerja Muna Farhah Wahidah untuk buat semua tu.
“Gila! Tengah malam macam ini?” Muna mengeraskan nada bisiknya.
“Mereka cakap dekat makmal.. cepatlah..” Bisik Lailina sambil menarik lengan Muna.
Mahu tak mahu diturutkan juga kehendak satu-satunya teman rapat Muna di S3N. Hanya itulah satu-satu kawan yang memahami Muna.
“Syhh...” Lailina mengisyaratkan dengan jari ke mulut. Muna terbongkok-bongkok melalui koridor asrama menuju ke Makmal. Mereka perlu melalui Dewan Makan dulu sebelum dapat melintas taman Botani yang akan membawa mereka masuk ke kawasan akademik. Selepas itu, mereka boleh memilih sama ada hendak ikut sahaja laluan biasa atau menggunakan short-cut melalui Stor Sukan.
“Lina.. ini kerja gila tau tak...” Muna masih ragu-ragu.
“Muna ikut sajalah.. nak lulus ke nak fail?” Pujuk Lailina.
“siapa tu?!” Suara lelaki mengejutkan kedua gadis itu. Serentak dengan itu cahaya lampu picit menyuluh ke arah muka Muna. Ditutupnya dengan tapak tangan. Kantoi.
“Awak?!”
“Awak?!” Mulut terlopong melihat lelaki itu.
“Buat apa kat sini?” Serentak mereka bersuara. Muna diam sahaja.
“Apa awak berdua buat dalam gelap-gelap kat sini?” Abrisam meneruskan soalan.
“Err tak ada apa.. kami makan angin saja.. yang awak tu, buat apa kat sini?” balas Lailina sambil menarik tangan Muna berpatah balik. Abrisam ditinggalkan begitu sahaja. Tak sampai separuh jalan, Lailina berhenti. Dia berpatah balik. Muna ditarik mengikutnya.
“....” Abrisam memandang ke arah mereka berdua. ‘Apa?’
“Awak mesti tolong kami...” Tegas Lailina. Terkesima Muna mendengar kata-kata Lailina itu.
“Tolong apa?” tanya Abrisam bingung.
“Kita pecah masuk makmal Fizik...” Jelas Lailina.
“Hah!? Awak berdua ini dah gila ke?” Abrisam mencerun.
“Report lab kami berdua disabotaj... esok awal pagi akan dihantar ke external examiner.. kalau tak ambik malam ini, alamat fail lah kitorang...” Jelas Lailina.
“Semua pelajar dah dipasangkan untuk membuat ujikaji Fizik. Kamu boleh memilih mana-mana ujikaji untuk dilakukan. Semua laporan hendaklah disiapkan dan dihantar sebelum Isnin ini.. External examiner akan menanda laporan makmal kamu semua..”Kata Cikgu Faridah, guru Fizik beberapa minggu yang lepas.
Muna dan Lailina telah menjalankan ujikaji mereka lebih awal dan menyiapkan semua laporan dengan baik. Usaha mereka itu menjadi sia-sia sahaja apabila laporan itu telah dicuri dan ditukar namanya oleh dua orang pelajar. Mereka kenal benar dengan keduanya. Cuma tiada bukti kukuh untuk mensabitkan kesalahan mereka.
“Baiklah... saya tolong... tapi awak berdua mesti berhati-hati..” jawab Abrisam.
Abrisam mendahului mereka berdua. Muna dan Lailina mengikut senyap-senyap di belakang. Mereka memilih jalan pintas melalui stor sukan. Di situ sedikit sunyi. Tidak ada orang lalu lalang. Pakcik Jaga juga jarang lalu ke kawasan itu.
“Lina... ini memang betul-betul kerja gila...” Muna berbisik. Abrisam di depan melangkah berhati-hati.
“Awak nak fail ke? Ini saja caranya nak ajar mereka berdua tu... kalau kita....” jawab Lailina.
“Syhh...” Abrisam mengisyaratkan ‘diam’. Muna dan Lailina mengangguk. Suasana sepi seketika. Yang bergerak hanyalah kaki yang dipandu cahaya bulan. Mereka tidak boleh menggunakan lampu picit, takut disedari Pakcik Jaga pula.
Abrisam berhenti seketika. Dia mengisyaratkan agar mereka semua merapatkan diri ke dinding. Muna dan Lailina faham. Dada berdebar-debar. Memang kerja gila. Dua orang pelajar perempuan dengan seorang pelajar lelaki. Meredah masuk ke dalam makmal tengah-tengah malam buta. Kalau kantoi dengan pihak pengawal, memang kekantoian yang sangat memalukan. Mana nak diletak muka bila semua orang tahu? Harap-harap tak kantoi.
Hujung bangunan sana kelihatan kelibat cahaya lampu suluh. Muna diam membatu. Begitu juga Abrisam dan Lailina. Mujurlah mereka memakai pakaian berwarna gelap. Pakcik Jaga membuat pengawasan di hujung sana. Selalunya 3 jam sekali Pakcik Jaga akan melalui dan ‘round’ ke sekeliling kawasan untuk memastikan keselamatan. Muna menjeling ke arah jam dan tangannya. 1.15 pagi.
“Come...” Abrisam berbisik selepas kelibat Pakcik Jaga sudah tidak kelihatan.
“Jom Muna...” Lailina menarik lengan Muna. Langkah kaki diatur perlahan-lahan. Terjengkat-jengkat mereka.
“Makmal Fizik mana satu?” Abrisam bersuara. Betul juga. Manalah si Abrisam ini nak tahu mana satu Makmal Fizik. Baru masuk hari ketiga di S3N. Fuh, tiga hari di sekolah baru sudah berani pecah masuk makmal. Dahsyat juga dia ini.
“Tu...” Muna dan Lailina bersuara sambil menunjukkan dengan telunjuk. Abrisam angguk tanda faham.
“Awak berdua tunggu di sini dulu... jaga diri... kalau nampak Jaga, cuba sembunyi...” Abrisam meninggalkan dua gadis itu di situ.
“Gudluck...” balas Lailina. “Hmm..” balas Abrisam.
Manusia bila di dalam keadaan terdesak boleh bertindak di luar jangkaan. Hanya ketika itu kewarasan akal sudah tidak berada di dalam kepala. Mungkin di kepala lutut barangkali. Tapi bukan semua manusia mahukan hidupnya sukar, kadangkala mereka terpaksa laluinya untuk menegakkan keadilan. Jika tidak, akan ada yang mengambil kesempatan pula. Contohnya, Muna dan Lailina tidak akan sekali buat kerja gila itu jika tidak kerana laporan amali mereka disabotaj. Tak sanggup mereka hendak membiarkan dua orang pelajar jelek itu bebas.
“Awak... cepat..” Abrisam memanggil mereka berdua. Dia berjaya membuka tingkap makmal Fizik. Muna dan Lailina berjalan terbongkok-bongkok ke arahnya.
“Sorry... pintu tak boleh bukak... tingkap saja yang boleh...” jelas Abrisam.
“Tak mengapa...” Lailina bersuara. Muna tergamam mendengar jawapan Lailina.
Takkan nak suruh dia panjat tingkap? Gila.
“Kita nak kena panjat ke?” Muna bersuara gusar.
“Dah tu?” Lailina membalas. Ah, sudah.
“Taknaklah...” Muna memandang ke arah Abrisam.