Buku teks Matematik Tambahan berserta buku latih tubi keluaran Sasbadi bertaburan di atas meja. Kalkulator masih ternyala tidak dipadamkan. Pensel, pemadam getah, pembaris dan pena mata bola berterabur. Buku latihan baru separuh penuh. Tuannya ke mana? Tidur. Atau lebih sopan lagi; tertidur secara tak sengaja. Kelaziman belajar beginilah. Buku baru sahaja dibuka, pen baru sahaja menari, mata pula sudah lali. Itu belum membaca Biologi lagi. Bila disumbat dengan pelbagai istilah yang macam-macam itu umpama membuai mata dengan alunan gesekan biola yang mengasyikkan. Tambahan pula bila bacaan dibuat selepas menikmati hidangan. Waduh, memang menjadi-jadilah mata hendak beradu.
Muna memandang tak beriak ke arah Lailina yang sedang nyenyak terlena di atas lengannya. Dia memandang ke arah dinding, jam baru sahaja berdenting sebelas kali. Kebanyakan dari teman-teman sedorm sudah turun ke Dewan Makan untuk menikmati juadah supper. Malam ini menu kuih donat dengan air Nescafe. Muna tidak berminat. Mungkin kebiasaannya dia memang tidak makan tengah malam sebelum tidur. Bukan warisan sunnah Nabi.
"Lina... bangun Lina..." Tangannya menepuk bahu Lailina yang sedang asyik dibuai mimpi. Lailina terjaga sambil menggosok-gosok kedua belah matanya.
"Ada apa Muna? Mengantuknye..." Tanyanya sambil menguap.
"Tutup mulut tu Lina... masuk setan..." Muna mengambil tangan kanan Lailina lalu ditekupnya ke mulut temannya itu.
"Lina taknak supper ke? Sekarang dah waktu supper ini..." Muna bertanya setelah Lina membuka matanya dengan lebar.
"Muna?" Mengeliat.
"Tak agaknya..." Meneruskan latihan Matematiknya.
Lailina menghampiri Muna dan berdiri tercegat sambil memandangnya.
"Kenapa?"
"Tak suka supper.."
"Sebab?" Lina masih tercegat.
"Entah..."
"Temankan Lina..."
"Hah?!" Muka mencerun.
"Temankan Lina supper... tak ada kawan.."
--------
Dewan makan hampir lengang. Tinggal beberapa orang sahaja lagi yang masih menghabiskan kuih masing-masing.
"Jom makan.." Lina meletakkan sepinggan donat dan juga dua gelas air Nescafe di atas meja. Terlopong Muna melihatnya.
"Siapa nak makan semua ini?" Muna tergamam.
"Kita..."
"Kita?"
"Ye lah.."
"Gila! Banyak ini!" Muna menggumam. Diambilnya juga sebiji donat di dalam pinggan. Tak elok pula membazir.
"Makan saja lah... tak habis kita buat bekal, kejap lagi sambung study ek.." Donat dikoyak dua, lalu disuapkan ke dalam mulut.
"Saya nak tidur, pagi nanti nak bangun..." jawabnya.
"Nak buat apa bangun pagi nanti?" Nescafe dihirup seteguk.
"Tahajud.."