Tuesday, February 13, 2007
KT5 Vol 1 [Finale]

 

 

      Seminggu kami menanti. Rasanya macam setahun. Sekadar menatap sekujur tubuh yang terbaring kaku di atas katil. Dengan wayar dan tiub berselirat di atas dada. Dah kering kolam airmata kami semua. Hanya hati saja yang masih lagi basah dengan doa. Semoga Khairil selamat. Sepanjang masa kami menantikan sedikit perubahan positif dari Khairil. Namun Allah swt masih belum mengizinkan dia kembali ke alam nyata ini.


      Tapi Allah itu sesungguhnya Maha Berkuasa dan Maha Agung ZatNya dan KeadaanNya. Pada subuh pagi Jumaat yang hening dengan laungan azan bersahut-sahutan, di masa umat manusia sedang enak dibuai mimpi, di saat fajar sadiq menjelma di ufuk timur; di kala itulah juga turun Izrail. Meneruskan tugasnya mentaati perintah Rabbnya. Satu lagi ruh hambaNya telah dipanggil pulang menghadap Penciptanya. Kembali kepada Zat yang berkuasa Menghidup dan Mematikan.

      Tak ada siapa menduga dalam umur semuda 23 tahun, Khairil kembali kepadaNya. Bagaikan suatu mimpi. Aku rasakan seperti baru semalam aku bertemu Khairil di Minggu Suaikenal sekolahku. Rasanya baru semalam Khairil memberitahu aku bahawa dia akan ke UK. Masih terngiang-ngiang lagi di telinga aku jeritan Khairil yang dia ditawarkan ke UK. Terbayang-bayang di mataku ketika dia mengajakku membeli-belah untuk ke UK. Dan masih baru lagi aku dengar darinya tentang Nurul. Sungguh kami semua mengasihi Khairil dan menyayangi dia. Tapi Allah telah membuktikan bahawa Dia lebih Mengasihi Khairil dari kami.

      Syukur pada Allah swt kerana Khairil pergi di pangkuan ibu dan adiknya. Ketika itu kami semua berada di sisinya. saya mendapat panggilan dari hospital pagi itu mengatakan Khairil mengalami komplikasi akibat dari trauma yang dihadapinya. saya terus bergegas ke wad bersama keluargaku dan keluarga Izzah. Izham dan rakan-rakanku juga sempat menatap Khairil di saat dia menghembuskan nafasnya. Walau pun masih dalam keadaan koma, wajahnya kelihatan tenang di saat-saat akhir hayatnya.

 

      " Assalamualaikum Zainal..." Belakang bahuku ditepuk Najib. Aku menggulungkan tikar. Sisa air mawar di dalam jag putih di tanganku dijiruskan ke pusara Khairil. Semoga Allah meluaskan ruang persemadiannya seluas mata memandang dan menjaminkan syurga buatnya di akhirat kelak. Sepanjang hayatku, hanya dia sahaja sahabat terbaikku.

      "Waalaikumussalam...." Aku melihat Najib. Dia memelukku. Aku rasakan airmataku begitu murah di kala itu. Menitis bagaikan air hujan. Mungkin inilah yang dikatakan bahawa harga airmata seorang lelaki akan jatuh begitu murah di saat dia kehilangan insan yang penting dalam hidupnya.

      "Sabar Nal... doakan dia bersama golongan soleh..." Nasihat dari Najib. Naqib usrahku. Insan yang memperkenalkan aku dengan usrah dan liqa'. Insan yang banyak memberikan kesedaran beragama padaku. Teman yang sentiasa ada bersama aku ketika langkahku tersandung.

      "InsyaAllah..." Aku melangkah meninggalkan pusara Khairil. Dua nisan dan pepohon kemboja menjadi saksi bisu kepada perpisahan abadi dua sahabat setia. Izzah berjalan bersama-sama Azreen dan ibunya di hadapan. Hanya aku dan Najib di belakang sekali.

      "Zainal..." Najib mengeluarkan sesuatu dari poket baju melayunya. Aku memandangnya. Dia menghulurkan sekeping sampul surat berwarna putih tertera namaku.

      "Apa ini Jib?" Tanyaku.

      "Ni adalah pemberian arwah untuk kau..." terang Najib.

      "Maksud kau?!" Tak mungkin Khairil sempat meninggalkan wasiat untuk aku. Sedangkan dia pergi dalam keadaan koma.

      "Lepas kau dan arwah bergaduh hari tu... Khairil berjumpa dengan aku... katanya dia nak aku sampaikan benda ini pada kau... selepas dia balik ke UK... tapi nampaknya hajat tu tak sampai... jadi aku rasa sekarang ini adalah masanya untuk aku sampaikan hajat arwah ini..." terang Najib.

      "Thanks Jib..." Aku mengambil sampul surat tu dari tangannya. Najib melangkah meninggalkanku sendirian.

      Kenduri arwah untuk Khairil diadakan di rumahku. Semua teman-temanku dan teman-teman sekampus arwah hadir. Aku membantu serba sedikit tugas-tugas mengemas. Selesai tugasku, aku terus naik ke tingkat atas dan merebahkan tubuhku ke atas katil. Tiba-tiba aku teringatkan surat arwah. Aku bangun ke meja study. Laci meja kubuka dan kukeluarkan sampul putih itu. Dengan terketar-ketar tangan aku membuka perlahan-lahan sampul itu.

      Assalamualaikum warahmatullah...

      Salam sejahtera buat sahabatku sejati di dunia dan akhirat...

      Kadangkala kata-kata dari mulut tidak dapat memberikan penjelasan yang sempurna. Kadang-kadang jari jemari kita lebih sesuai menjalankan tugas itu. Mungkin juga kerana jari jemari kita jarang sekali dipengaruhi oleh emosi.

      Zainal Ariff...

      Mungkin di waktu kau baca warkah aku ini, aku sudah berada jauh dari kalian semua. Jauh di negeri asing buat aku dari tanah tumpah darahku sendiri. Maafkan aku kerana pergi meninggalkan kalian semua tanpa sepatah salam.

      Sahabatku Zainal...

      Maafkan aku kerana tindakan aku tempoh hari. Aku sedar aku bersalah dengan kau. Aku tak sepatutnya bercakap semacam tu. Yakinlah Nal... tak terniat langsung dalam hati aku untuk menghina kau sekeji tu. Aku menyesal. Aku mohon agar kau dapat maafkan aku.

      Zainal...

      Aku tahu kau semestinya dah kenal siapa Nurul kan? Nurul Izzah. Dialah teman kau, tunang kau tapi kekasih aku. Maafkan aku kerana tak menerangkannya dengan lebih awal pada kau. Aku tak jangka bahawa kau dan Izzah telah ditunangkan.

      Terus terang aku marahkan kau Zainal. Tapi bila aku fikirkan semula aku sedar. Siapalah kita untuk menentang kehendakNya. Aku redha dengan apa yang terjadi. Sekarang ini baru aku sedar, bahawa cinta itu tidak semestinya membawa aku ke jinjang pelamin. Kalau pun aku tidak dapat memiliki Izzah, aku bahagia dengan cinta yang berkembang di dalam hati aku ini untuk Izzah.

      Zainal...


      Aku melipatkan warkah dari arwah Khairil tanpa kuhabiskan bacaan. Sebak di dada. Aku tak sanggup nak habiskan ayat-ayat yang tertulis di dalamnya. Biarlah aku simpan dulu. Biarlah hati aku tenang dulu sebelum dapat aku sambung membacanya.

 


---


      Aku melangkah perlahan-lahan menuju ke arah pusara Khairil. Tanah di atas pusaranya masih segar lagi, walau pun sudah sebulan dia pergi. Kuntum-kuntum kemboja putih bertaburan di atasnya. Titisan embun di bibir kelopak putihnya seolah-olah menangisi pemergian Khairil. Dedaunan hijau seolah menadah doa sejahtera pada sahabatku di sana.

      Aku menaburkan bunga di atas pusara Khairil. Tak henti-henti di dalam hatiku mendoakan sejahtera untuk Khairil di alam barzakh. Semoga kasih Allah melimpah ruah buatnya. Air mawar kusiramkan ke pusaranya. Aku menadahkan tangan berdoa kepada Ilahi. Semoga Dia membalas kasih sejati seorang teman yang dipamerkan oleh Khairil dengan limpahan rahmat dan berkat. Selesai berdoa. Aku bermonolog sendirian di hadapan nisan Khairil...

      Khairil...

      Assalamualaika sahabatku...

      Semoga Allah membahagiakan kau, lebih dari seperti mana kau telah membahagiakan aku di dunia ini...

      Khairil...

      Aku telah tunaikan wasiat kau... Ija sekarang ini menjadi tanggungjawab aku sebagai abang... Aku tahu Khairil... aku tetap aku... takkan sama seperti kasih kau padanya... tapi yakinlah Khairil... Aku akan pastikan Ija mendapat kasih sayang seorang abang...

      Khairil...

      Aku juga telah tunaikan hajat kau... Terima kasih atas segalanya Khairil... Walau pun kau sudah tiada bersama aku... tapi semangat dan memori kau tetap kekal bersama aku... Andainya kau dapat mengetahuinya... Aku bahagia sekarang... Akan aku jalankan tanggungjawabku sebaik mungkin... Ini janji aku pada kau Khairil... Aku takkan sia-siakan dia...

      "Abang......." Aku tersedar dari lamunanku. Tanpa aku sedari airmataku menitis ke pipiku. Segera aku menyekanya dari jatuh ke pusara Khairil.

      "Ye......" Aku tersenyum memandangnya.

      "Apa yang abang menungkan tadi?" Jag kosong di tanganku diambilnya sopan.

      "Tak ada apa-apa sayang... jom... kita balik..." Aku membetulkan pin di tudung merah jambunya. Aku tersenyum. Dia membalas kembali dengan membetulkan butang baju melayuku.

      Aku melangkah meninggalkan pusara Khairil. Aku menggenggam erat tangannya dan terus melangkah. Aku berjanji pada diriku untuk menjalankan tanggungjawabku sebaik mungkin. Semoga aku mampu membahagiakannya hingga ke akhir hayat. Aku merenung wajahnya yang redup dan penuh sopan. Dia menyandarkan kepalanya ke bahuku.

      "Abang..." Dia bersuara.

      "Ye sayang..."

      "Terima kasih..." sambungnya. Aku mencium ubun-ubunnya. Dia merenungku. Airmatanya menitis ke pipinya yang putih dan bersih.

      "Abang berjanji akan menjadi suami yang terbaik untuk Izzah..." Aku menyeka airmatanya.

      "Dan Izzah juga berjanji akan menjadi isteri yang terbaik untuk abang..." balasnya. Kami meneruskan langkah meninggalkan kawasan perkuburan. Aku terasa seperti Khairil sedang memerhatikan kami. Semoga Allah merahmati ruhnya di sana. Terima kasih Khairil. Terima kasih untuk segalanya.

-Sambungan surat Khairil-



      Zainal...

      Aku lepaskan Izzah kepada kau. Aku korbankan rasa kasih dan sayang aku demi untuk melihat kau dan dia bahagia. Aku harap kau berjanjilah dengan aku untuk menjaga Izzah dan membahagiakan dia. Aku yakin kau mampu untuk menunaikan hajatku ini.

      Tentang aku... kau tak perlu risau... InsyaAllah... akan datang suatu masa nanti kekasih yang lebih baik dari Izzah buatku... Kekasih yang akan membahagiakan aku sepanjang hayat... Selamat berbahagia sahabatku... Jangan lupa bawa Izzah bertemu aku bila kau dan dia selamat diijabkabulkan... Kau tetap selamanya sahabat aku... dunia dan akhirat...

      Ikhlas,
      Khairil.....

p/s: cinta akan mekar berputik pada bila-bila masa...

 

      Cinta akan mekar berputik pada bila-bila masa. Kita merancang segalanya. Tapi Allah Menentukan natijahnya. Kadangkala ia terjadi di luar kehendak kita. Tapi redhalah dengan kehendak Allah. Dia lebih Mengetahui dari kita. Sahabat sejati adalah dia yang dapat duduk berayun-ayun buaian denganmu tanpa mengucapkan sepatah katapun; kemudian dia meninggalkanmu dengan kau merasakan telah bercakap-cakap lama bersamanya. Dalam hidup ini, kadangkala memerlukan pengorbanan yang pahit untuk memiliki kebahagiaan. Tapi yakinlah, kebahagiaan akan membahagiakan pengorbanan.

      Inilah yang aku pelajari sebelum aku meneruskan Kuliah Tahun 5 aku di kampus. Pengajaran yang tak pernah wujud di dalam mana-mana syllabus kurikulum. Hanya dapat kupelajari dari universiti kehidupan. Akhir sekali, ingin aku berpesan pada kalian semua... berhati-hatilah!... laluilah hidup dengan panduan Ilahi... mungkin kisah ini akan berulang di dalam lipatan sejarah hidup kalian pula...

      Lagu ini didedikasikan kepada Zainal Ariff dan Nurul Izzah... Semoga berbahagia ke akhir hayat....

      Oh Tuhan...
      Seandainya telah Kau catatkan...
      Dia milikku tercipta untuk diriku...   
      Satukanlah hatinya dengan hatiku...
      Titipkanlah kebahagiaan...

      Ya Allah...
      Ku mohon apa yang telah Kau takdirkan...
      Kuharap dia adalah yang terbaik buatku...
      Kerana Engkau Tahu segala isi hatiku...
      Pelihara daku dari kemurkaanMu...

      Ya Tuhanku...
      Yang Maha Pemurah....
      Beri kekuatan jua harapan...
      Membina diri yang lesu tak bermaya...
      Semaikan setulus kasih dijiwa...

      Kupasrah kepadaMu...
      Kurniakanlah aku...
      Pasangan yang beriman...
      Bisa menemani aku...
      Supaya ku dan dia...
      Dapat melayar bahtera...
      Ke muara cinta yang Engkau Redhai...

      Doa Seorang Kekasih – In Team

      TAMAT.

      Karya Asli,

      Hafeiz Suhaimi...
      20 December 2005
      0140 Hour

 

Posted at 10:19 am by hafeiz suhaimi

 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments





Previous Entry Home Next Entry

   













pelawat sedang berkhayal





Semenjak 27 Mac 2007 1240 p.m.

View My Stats










Kuliah Tahun 5


[ 1] [ 2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][Finale]

Kisah benar yang dilayarkan ke arena penulisan...
Permulaan yang tak pasti...
Pengakhiran yang masih samar...
Jenal dan Izzah...
Sama-sama mencari kepastian yang menanti di hujung jalan...





Kuliah Tahun 5 Volume II

[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][Finale]

Persoalan hati adalah milik Allah, serahkan saja pada Pemiliknya...
Usu dan Ashraff menempuhnya untuk pengajaran yang lain...
Bila persahabatan dan cinta kesamaran,
nantikan masa dan jarak menentukannya...




Namaku Muna

[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][Finale]

Lontarkan isi hatimu, biar seluruh alam mendengarnya...
Berbisiklah pada maya, walau tiada siapa yang sudi mendengar...
Kerna jika kau tidak bersuara, semuanya menjadi sepi...






Namaku Muna II


[Intro][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12 & 13][14 & 15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32]


Langkahku menjadi kaku..
Musim berlalu terasa seperti angin lalu..
Engkaukah yang mengetuk pintu hatiku..?
Atau aku yang bermimpi di hujung senja..






Aku dan Dia
[Prolog][Satu][Dua][Tiga][Empat][Lima][Enam][Tujuh]






Kisah Adam dan Zulaikha

Kisah Adam dan Zulaikha 1
 
Kisah Adam dan Zulaikha 2
 
Kisah Adam dan Zulaikha 3
 
Kisah Adam dan Zulaikha 4
 
Kisah Adam dan Zulaikha 5
 
Kisah Adam dan Zulaikha 6
 
Kisah Adam dan Zulaikha 7
 
Kisah Adam dan Zulaikha Finale

Tak semestinya cinta itu lahir dengan kelembutan gadis, kemachoan lelaki. Dan jatuh cinta ketika terlihat si dia dalam postur yang menarik. Cinta itu penuh dengan kesunyian, ia mengejar dalam hitam, dan dicari dalam putaran masa yang berlainan arah. Yang menjadi persoalannya, relakah kau mengejarnya?







If you want to be updated on this weblog Enter your email here: