Selesai makan aku meminta izin untuk pulang ke rumah seketika. Mama dan ayahku turut serta ikut. Ayahku ada mesyuarat petang nanti. Jadi dia perlu balik segera ke pejabatnya. Dalam perjalanan aku tidak banyak bercakap. Hanya ayah dan mama yang banyak berbual. Sekali sekala sahaja aku menjawab pertanyaan mereka.
Sesampainya di rumah, Usu menyambutku. Adik bongsuku itu sedang bercuti semester. Aku berbual-bual dengannya seketika menghilangkan letih sebelum naik ke bilikku untuk berehat.
"Eh... adik Along yang ni pun balik jugak?" Ateh masuk ke dalam bilikku.
"Ateh temankan kak Azreen... dia dengan kak Izzah duduk bilik Ateh..." jelas Ateh tanpa diminta. Aku sekadar tersenyum padanya.
"Along nampak letih saja... nak milo? Ateh buatkan... Along dah makan belum?" tanya adikku.
"Boleh jugak..." balasku.
Ateh berjalan turun ke dapur. Aku mengambil bantal dan berbaring seketika sementara menantikan Ateh menyiapkan makanan. Aku mengeluarkan discman dari beg sandangku. Aku menekan butang 'play'. Lagu Alam Rohani nyanyian Hijjaz berkumandang di telinga. Aku cuba menenangkan hatiku. Seketika kemudian Ateh masuk dengan segelas air milo dan beberapa keping roti bakar. Aku tersenyum padanya lantas bangun menghampiri meja studyku. Ateh meletakkan dulang di atas meja.
"Ateh dah makan?" tanyaku sambil tanganku mengambil sepotong roti.
"Dah Along... dengan Usu tadi..." balasnya.
"Petang nanti Along nak pergi hospital..."
"Ateh ikut Along..." balas Ateh. Aku mengangguk.
"Along... boleh Ateh tanya sikit...?" kata Ateh.
"Apa dia?" Aku berhenti seketika.
"Kenapa Ateh nampak Along macam susah hati saja ini?"
"Tak ada apa Ateh... Along letih sikit saja..." balasku. Aku sendiri pun tak tahu sama ada wajar aku berterus terang tentang siapa Izzah denganku pada Ateh. Yang pasti dia tak tahu. Aku masih tak faham Kenapa mama dan ayah masih merahsiakannya hingga saat ini. Mujurlah Izzah menerangkan padaku. Tapi, nampaknya bukan Izzah sahaja yang tersepit. Aku dan Khairil juga seperti itu. Antara menjaga hati sendiri, hati seorang teman baik dan juga ibu bapaku.
"Takpelah Along... Along rehat dulu... Ateh turun bawah kejap..." Ateh bangun meninggalkanku menghabiskan roti.
Petangnya aku dan Ateh pergi hospital. Aku memandu kereta mama. Kebetulan mama bercuti hari ni. Ateh dari mula lagi diam saja sepanjang perjalanan. Mungkin dia pun terasa sedih dengan nasib yang menimpa Khairil. Maklumlah, adik-adik aku semuanya rapat jugak dengan si Khairil ini; macam aku rapat dengan adik Khairil. Semenjak sekolah menengah lagi, Khairil selalu datang ke rumah aku atau aku bertandang ke rumah dia. Dia paling suka buli si Ateh. Usu dengan Alang pulak selalu backing si Khairil ini. Angah saja yang backing Ateh. Riuh rendah jadinya time mereka gaduh. Asalnya datang rumah aku nak study jadi lain pulak. Macam tu lah selalunya.
Kadang-kadang aku terfikir sendiri. Mungkin Allah swt nak uji kekuatan persahabatan kami. Sungguh aku tak pernah terlintas di fikiran untuk 'potong line' si Khairil ini. Lagi pun dari dulu lagi memang aku tak ada menyimpan apa-apa perasaan lain pada Izzah selain anggapan dia sebagai seorang kawan. Kawan biasa. Teman sekuliah. Setakat tu saja. Walau pun pada pandangan mata seorang lelaki, Izzah punya pakej seorang isteri yang baik. Dia berpelajaran tinggi, mempunyai masa depan yang terjamin, berbudi bahasa, sopan santun, ada rupa yang sejuk mata memandang; dan yang paling penting dia punya kekuatan agama.
Aku harap segalanya akan berakhir dengan baik. Aku berdoa semoga Khairil selamat. InsyaAllah. Memandu di Kuala Lumpur ini kena banyak bersabar. Kalau tak cukup sabar, memang banyaklah yang tak elok jadi. Sebab tu lah gamaknya kes buli jalan raya ini bersepah merata. Dah tu ramai yang memandu ikut undang-undang jalanraya sendiri. Main redah sesuka hati mak tiri mereka saja. Patutlah ramai orang KL ini dapat stress and depression.
Aku dan Ateh sampai ke HKL lebih kurang 10 minit sebelum pukul 2 petang. Selepas 10 minit mencari tempat meletak kereta, kami berada di wad ICU HKL. Ija kulihat masih terbaring di pangkuan Izzah. Azreen pula sedang duduk di kerusi berhadapan Izzah dan Ija. Tak kelihatan pula Mak Mah. Mungkin di dalam bilik Khairil. Azreen bangun mendapatkan Ateh. Mereka bersalaman dan berpelukan. Izzah menghulurkan tangannya bersalaman dengan Ateh. Dia tidak dapat bergerak banyak, takut Ija terjaga pula.
"Assalamualaikum..." Aku memberikan salam pada Izzah.
"Waalaikumussalam..." jawabnya sambil membetulkan tudungnya yang berwarna hijau pucuk pisang tu.
"Mak Mah ke mana?" tanyaku.
"Kat dalam bilik tu... doktor tak benarkan ramai-ramai masuk..." jelasnya.
"Apa khabar Khairil?" Terasa macam janggal soalan ini.
"Masih tak sedarkan diri... not much progression..." balas Izzah sambil mengurut-urut lembut bahu Ija. Aku duduk di bangku berhampiran.
"Sabarlah Izzah... kita sama-sama berdoa..." Aku pasti dia tak putus-putus berdoa padaNya. Melihat orang yang disayangi menderita, adalah sekali ganda menderita sendiri.
"Terima kasih Zainal..."
"Awak dengan Azreen dah makan ke belum?" tanyaku. Izzah menggelengkan kepala.
"Awak nak makan apa? Saya belikan..." Aku menawarkan diri untuk membelikan makanan untuknya.
"Apa-apa saja lah...... Terima kasih Zainal..." balasnya.
"Err... Azreen?" Aku beralih ke arah Azreen yang sedang berbual dengan Ateh. Dia sedikit terkejut mendengar namanya dipanggil.
"Nak makan apa-apa? Saya nak ke kantin ini..." tanyaku. Ateh disebelahnya aku lihat tersenyum. Nakal betul adik aku seorang ini. Dia tak tahu bahawa Izzah yang sedang memangku Ija itu adalah bakal kakak iparnya; bukan Azreen di sebelahnya.
"Takpelah..." balasnya tertunduk.
"Cakap saja... kebetulan saya nak belikan untuk Izzah sekali..." kataku lagi. Mungkin dia segan dengan tawaran aku.
"Ikut suka Zainal lah..." balasnya ringkas. Aku tersenyum. Angguk.
"Ateh?" Tanyaku.
"Taknak lagi lah... erm... Along... kak Reen suka mee goreng hailam dengan sirap limau..." balasnya sambil tersengih. Aduh menyirap darahku dengan gurauan si Ateh ini. Nanti nampak sangat pula yang aku ini macam berpakat dengan Ateh. Aku membalas gurauannya dengan muka selamba. Azreen mencuit peha Ateh sambil tertunduk memandang lantai. Atau mungkin juga memandang kasutnya. Kemudian dia memandang ke arahku.
"Err... tak payah lah susah-susah Zainal... Zulaikha ini ada-ada saja..." Merah mukanya menahan malu.
"Tak apa... tak ada susah pun... bukan saya yang nak masakkan..."balasku tersenyum. Azreen tunduk semula memandang lantai.
Mak Mah dan Ija pulang ke rumah aku lebih kurang pukul 4 petang. Ateh membawa mereka pulang ke rumah. Izzah dan Azreen menunggu di luar sementara aku masuk ke dalam bilik Khairil. Kasihan benar aku tengok keadaannya. Lebam-lebam di muka dan badannya masih kelihatan. Mukanya kulihat sedikit tembam, mungkin kerana bengkak. Perkara biasa berlaku pada mangsa kemalangan. Wayar-wayar berselirat di badannya. Khairil terbaring kaku dengan matanya terpejam rapat. Dadanya bergerak turun naik dengan pernafasannya. Nasib baiklah dia tidak mengalami sebarang komplikasi pada paru-parunya. Dengan kecederaan yang dialaminya. Aku menjangkakan dia perlukan banyak masa untuk kembali ke keadaan biasa.
Aku tertidur seketika di atas sofa di bilik Khairil ditempatkan. Mungkin kerana kesejukan pendingin hawa dan keempukan sofa membuatkan aku terlena di situ. Tapi lena aku sekejap saja. Aku dikejutkan dengan suara Izzah. Dia bertanyakan sama ada aku sudah menunaikan solat Asar atau belum. Aku teringat bahawa aku belum lagi bersolat Asar; kerana semasa aku tertidur tadi belum masuk waktu lagi. Nasib baik Izzah kejutkan aku, kalau tak mungkin terlepas solat Asar.
Aku bangun melangkah keluar meninggalkan Izzah di dalam bilik. Kulihat Azreen di kerusi di luar sedang membaca majalah Nur. Aku melangkah terus ke surau tanpa menghiraukan dia. Asyik nampaknya dia membaca majalah tu. Lebih kurang setengah jam di surau. Aku kembali ke wad. Aku masuk ke dalam bilik. Azreen dan Izzah berada di dalam.
"Kalau awak dengan Azreen nak balik... baliklah dulu... saya stay kat sini..." Aku bersuara. Azreen yang duduk di atas sofa membelakangiku terkejut dengan suaraku dan berpaling ke belakang.
"Kakak nak balik ke?" tanya Azreen pada Izzah sambil dia memandang ke arah Izzah. Izzah yang tadinya sedang membetulkan kain selimut yang menutupi kaki Khairil memandang ke arahku.
"Awak tak balik Zainal?" tanya Izzah padaku.
"Malam karang saya balik... Mak Mah datang jaga Khairil malam nanti..." jawabku.
"Kita balik dululah Reen..." Izzah menjawab pertanyaan Azreen. Azreen bangun membetulkan tudungnya dan mengambil beg sandangnya. Majalah Nur masih di tangannya.
"Kami balik dulu Zainal... kalau ada apa-apa cepat bagitau ye..." pesan Izzah padaku. Aku menganggukkan. Aku menghempaskan punggungku ke atas sofa sambil mengeluarkan discmanku dari beg. Bila kuangkat muka aku ke depan. Aku terkejut dengan majalah APO! dihulurkan padaku. Aku teringat pada sejarah jatuh longkang depan Izzah dulu. Semuanya gara-gara majalah kesukaan itulah.
"Kalau-kalau boring boleh baca..." Azreen bersuara. Izzah memandang ke arahku.
"Jangan lupa... kalau nak baca tu jangan sambil berjalan... nanti jatuh longkang..." Izzah mengingatkanku. Aku tersenyum padanya.
"Terima kasih..." kataku pada Azreen.
"Sama-sama... assalamualaikum..."
"Waalaikumussalam..." jawabku. Mereka beredar keluar. Aku mendengar lagu dari discmanku. Sambil tu aku membelek-belek majalah APO! pemberian Azreen tadi. Dan aku tersenyum sendirian. Lawak Antara Benua...