"Zainal...! Khairil... eksiden... cepat..." Aku dikejutkan pagi ini dengan berita Khairil kemalangan. Sudah hampir dua minggu aku mendapat tahu hubunganku dengan Izzah. Ibuku mengejutkan aku dari tidurku.
"Apa Mama?!!" Aku ingin mendapatkan kepastian. Apakah aku di alam realiti atau mimpi fantasi.
"Khairil... eksiden pagi tadi... di ICU sekarang ini... cepat Nal..." ibuku membuat penegasan. Innalillahi wainnai ilaihi raji'uun... Ya Allah selamatkanlah temanku... Aku berdoa di dalam hati. Aku terbayangkan wajah Khairil. Hatiku menangis.
Setiap langkah aku ke wad ICU HKL seperti terlalu lambat. Kalau boleh aku pandu keretaku memasuki wad itu mahu saja aku berbuat demikian. Agar aku dapat tatap wajah sahabatku dengan segera. Agar segera aku ketahui keadaannya. Debaranku semakin memuncak semakin kakiku mendekati pintu masuk wad. Di bahagian luar wad kelihatan ibu Khairil Puan Rahimah sedang berteleku di sisi Khadijah, adik perempuan Khairil. Di hujung bangku. Aku melihat Izzah yang memegang surah Yasin di tangannya. Dia memandangku dengan penuh hiba. Matanya kelihatan lebam. Mungkin kerana terlalu banyak menangis dengan pelbagai rintangan yang dihadapinya. Dr Ahmad dan Puan Khuzaimah juga ada di sudut tepi bangku. Kedua mereka kelihatan tenang.
"Abang Zainal......!!" Khadijah yang berusia 9 tahun berlari mendapatkanku. Dia menarik-narik bajuku. Airmatanya tumpah bagaikan hujan mengalir ke pipinya.
"Ija... sabar dik... jangan buat macam ini... insyaAllah abang Khairil akan selamat..." Aku cuba menenangkan Khadijah. Aku tahu bahawa kata-kataku hanya sekadar kata-kata menenangkannya, tanpa ada sebarang bukti konkrit.
"Abang Zainal... Ija sayangkan abang Khairil..." Khadijah yang kupanggil Ija menangis terisak-isak dipangkuanku. Puan Rahimah menarik tangan Ija.
"Ija... tak elok buat abang Zainal macam tu... mari sini..." kata Puan Rahimah memujuk.
"Takpelah mak Mah... biarlah..." balasku.
Izzah memandang ke arahku. Matanya seperti memberitahuku sesuatu. Izzah bangun dan beredar ke arah taman di luar. Aku faham. Dia ingin menyampaikan sesuatu. Aku bergerak menurutinya. Ija turut mengikuti aku.
"Zainal... saya tak sangka sampai macam ini..." Izzah bersuara sambil duduk di bangku kayu di hadapanku. Ija duduk merapati Izzah. Dia merebahkan kepalanya ke bahu Izzah. Sementara itu, tangan Izzah lembut membelai pipi Ija.
"Sabarlah Izzah... semuanya kehendak Allah..." Aku cuba tenangkan Izzah.
"Tapi semua bermula dengan saya Zainal... saya yang kecewakan Khairil... sampai dia jadi macam ini..." Izzah menyalahkan dirinya sendiri.
"InsyaAllah dia akan selamat Izzah... kita berdoa sajalah..." sambungku.
"Zainal..... subarachnoid hemorrhage... fractured 3 ribs, lung contusion and badly fractured pelvis... its an open book fracture Zainal... what more to be done? Hemophilia and bleeding... musuh tradisi sedang bertarung Nal... you should know how difficult to control the bleed..." Izzah mengeluh.
Aku faham apa yang bermain difikiran Izzah. Khairil adalah pesakit hemophilia A. Penyakit yang menyebabkan dia terlalu sensitif kepada pendarahan. Sedikit sahaja hantukan, boleh menyebabkan pendarahan yang kronik padanya. Apa pula sekarang. Sub-arachnoid hemorrhage, patah tulang rusuk dan tulang pinggul. Semuanya menambah burukkan lagi keadaan untuk mengawal pendarahannya.
"Tak ada yang mustahil bagi Allah... Izzah... kita usaha... Dia tentukan natijah..." sambungku. Aku faham perasaan Izzah. Melihat orang yang disayangi menderita, rasa sekali ganda menderita sendiri. Itu yang aku pelajari darinya.
"Saya faham Zainal..." Izzah membalas.
Aku mengajaknya kembali ke wad ICU. Aku memimpin tangan Ija. Dia juga menderita. Malah lebih-lebih menderita lagi dari kami semua. Hanya Khairil seorang sahaja abangnya. Tiada gantinya.
Tak lama kemudian, doktor yang merawat Khairil keluar dari ICU. Kami beramai-ramai mendekatinya.
"Doktor... macam mana Khairil doktor...?" Tanya Puan Rahimah terisak-isak. Doktor yang bernama Junaidah itu memandang ka arah Puan Rahimah.
"Ini ibu Khairil doktor..." Aku menjelaskan kepada Dr Junaidah. Dia mengangguk tanda faham.
"Puan... Khairil kehilangan banyak darah... dan hemophilia memburukkan lagi keadaannya... tapi Puan jangan bimbang... pendarahan dalam badannya telah berjaya kami atasi... Khairil dalam keadaan stabil sekarang ini... dia masih tidak sedarkan diri lagi... janganlah Puan bimbang... InsyaAllah... dia akan selamat..." terang Dr Junaidah kepada kami.
"Boleh kami melawat Khairil doktor?" Izzah bersuara.
"Saya minta maaf kerana tak dapat benarkan pesakit dilawat sekarang ini..." balas Dr Junaidah. Wajah Izzah berubah sedikit kecewa dengan keputusan Dr Junaidah. Tapi dia harus faham. Dia juga bakal menjadi doktor, harus faham sebab kenapa dalam keadaan begini Khairil lebih baik dibiarkan sendiri.
"Doktor... bila boleh kami lawat Khairil?" tanyaku.
"InsyaAllah... besok pagi kami akan benarkan pelawat... tapi dua orang sahaja setiap kali lawatan..." balas Dr Junaidah.
"Terima kasih doktor..." balasku. Izzah kembali tenang. Walau pun kelopak matanya sentiasa digenangi air mata. Puan Khuzaimah menenangkan Izzah.
"Satu perkara lagi... kami memerlukan darah untuk Khairil... tabung darah kami kekurangan darah jenis A" balas Dr Junaidah sambil berlalu meninggalkan kami.
Telefon tanganku berdering. Aku beredar ke sudut ruang untuk menjawab panggilan dari Zaim.
"Hello.. assalamualaikum..."
"Waalaikumussalam... Nal... macam mana Khairil?" tanya Zaim.
"Dia stabil... tapi masih tak sedarkan diri... kau kat mana ni?"
"Aku, Najib, Izham dan ramai lagi kawan-kawan kita kat airport ni... InsyaAllah kami sampai kejap lagi... tengah ambik beg ni..." balas Zaim.
"Okeh..." jawabku ringkas.
"Okeh Nal... jumpa kejap lagi...assalamualaikum..."
"Waalaikumussalam..." Aku mematikan talian.
Aku beralih ke belakang. Aku terpaku seketika. Dia berjalan dari luar ke arah kami. Di tangannya ada sebuah beg pakaian. Dia bergegas mendapatkan Izzah.
"Akak..." Dia memeluk erat bahu Izzah. Dia turut menitiskan air mata bersama Izzah. Puan Khuzaimah mengurut-urut bahunya.
"Mak... ayah..." Dia bersalam dengan Puan Khuzaimah dan Dr Ahmad. Tangan keduanya dicium.
"Reen... kenalkan... ini..." Izzah menunjukkan jarinya ke arahku yang berdiri di sebelah ayahku.
"... Zainal Ariff kak..." Azreen memotong kata Izzah. Wajahnya memandang ke arahku. Kali pertama aku melihat wajahnya. Tapi cuma seketika. Dia segera memandang ke arah Izzah.
"Reen kenal dengan Zainal?" tanya Izzah.
"Kenal kak..." balas Azreen.
"Zainal datang rumah kita dulu Izzah... masa pertandingan syarahan tu..." balas Puan Khuzaimah. Izzah mengangguk. Dia memandang ke arahku. Aku hanya memandangnya kembali. Suram.
"Zainal... pergi belikan makanan..." Mama bersuara.
"Baik Mama... err Mak Mah nak makan apa?" tanyaku pada Puan Rahimah.
"Mak Mah tak ada selera Nal... belikanlah apa-apa untuk Ija ni..." ujar Puan Rahimah.
"Ija pun tak nak makan mak... Ija nak abang Khairil..." balas Ija merengek.
"Ija... mari ikut abang..." Aku menanggilnya. Dia bangun merapatiku.
"Izzah... Uncle... Auntie... nak makan apa? Saya belikan..." Aku bertanya.
"Tak payahlah Zainal... Uncle dengan Auntie baru makan... mungkin Izzah nak makan apa-apa.." balas Puan Khuzaimah. Dr Ahmad juga mengangguk tanda setuju.
"Azreen...?" tanyaku memandangnya. Dia tunduk menggelengkan kepala. Sepatah pun tidak terucap.
"Meh Ija..." Aku membawa Ija ke kantin hospital.
Aku membelikan beberapa bungkus nasi lemak dan juga beberapa botol air mineral. Aku dan Ija makan dulu di kantin. Ija kelihatan masih murung. Nasi di depannya tidak dihabiskan.
"Ija... Kenapa tak makan nasi tu...?" tanyaku.
"Ija nak abang Khairil..." balasnya.
"Jangan macam tu Ija..." Suara Azreen mengejutkanku. Aku menoleh ke belakang. Azreen dan Izzah berdiri sambil berpegangan tangan. Izzah kemudian berjalan ke kaunter. Azreen duduk di sebelah Ija.
"Kalau abang Khairil tahu Ija tak makan mesti dia sedih... Ija nak abang Khairil sedih ke?" kata Azreen memujuk. Ija menggelengkan kepala. Azreen menguis-nguis nasi lemak di dalam pinggan dengan sudu.
"Kalau macam tu makan sikit..." Azreen menyuapkan nasi lemak ke mulut Ija. Aku melihat tanpa sepatah kata. Pandai betul dia memujuk Ija. Pandai mengambil hati budak-budak. Sama seperti kakaknya Izzah juga.
"Azreen tak makan sama?" Aku mengeluarkan suara yang terasa serak di tekakku. Dia memandang ke arah Izzah. Aku faham. Kulihat Izzah sedang memesan makanan di kaunter.
"Saya minta maaf Zainal..." Azreen bersuara.
"Maaf...? Untuk apa? Azreen tak ada salah dengan saya..." Aku kehairanan.
"Saya minta maaf dengan sikap saya pada Zainal sebelum ini..."
"Eh... Azreen tak ada salah apa-apa pun dengan saya..." tegasku.
"Saya nak pulangkan balik benda ini..." Azreen menghulurkan sesuatu di dalam genggaman tangannya.
"Apa ini Azreen?" Aku bingung. Azreen meletakkan sebentuk cincin di atas meja.
"Cincin ini adalah cincin pertunangan Zainal dan Kak Izzah... saya ambil cincin ini tanpa pengetahuan Kak Izzah..." balasnya. Izzah yang selesai membuat bayaran melangkah ke arah kami. Dia menatang dua mangkuk mee kari dan air oren.
"Tolonglah Zainal..." Dia memandangku dan kemudian ke arah Izzah. Aku faham. Aku terus mengambil cincin itu dan memasukkannya ke dalam poketku. 'Kau silap Azreen... cincin tu sepatutnya kau pulangkan pada Khairil...' Aku bermonolog sendirian.
Selesai makan kami bergerak ke wad semula. Kawan-kawanku juga sudah sampai. Zaim dan Najib kelihatan sedang berbual-bual dengan ayahku dan Dr Ahmad. Aku mendekati mereka semua dan bersalaman. Izham membawa bersama adik lelakinya Asyraf. Aku mengenali Asyraf sudah lama. Sudah beberapa kali Asyraf datang ke kampusku. Aku dengar Asyraf bukanlah adik kandung Izham. Tapi mereka sudah rapat benar kerana Asyraf diambil semenjak kecil lagi.
"Macam mana Nal...?" Najib bertanya padaku. Perkenalannya dengan Khairil walau pun seketika membuahkan ukhwah yang kukuh. 'Kawan kau, kawan kami juga' Kata Zaim tempoh hari.
"Subarachnoid bleeding, ribs fracture, lung contusion and open book fracture..." jawabku. Najib mengangguk faham.
"He needs more blood Jib..." sambungku. Aku tidak dapat berbuat apa-apa kerana aku berdarah B. Kalau aku berdarah A, dah lama aku menderma untuk Khairil.
"Ayah kau dah bagitahu aku tadi... jangan risau... Suhaimi, Akmal dan Pojie berdarah A... mereka dah pergi daftar untuk derma darah tadi..." terang Najib.
"Terima kasih Jib..." balasku.
"Kawan kau, kawan kami juga... susah kau... susah kami juga..." balas Najib. Aku bersyukur pada Allah swt kerana mengurniakan sahabat yang sejati yang sentiasa berada di sekelilingku tiap masa aku perlukan bantuan. Alhamdulillah.
Lebih kurang satu jam, Suhaimi, Akmal dan Pojie kembali ke tempat kami menunggu. Aku mendapatkan mereka bertiga dan mengucapkan terima kasih. Syukur ada bantuan darah yang diperlukan disaat genting seperti sekarang ini. Tidak lama kemudian, ibu dan ayahku membawa Mak Mah dan Ija pulang ke rumah kami. Dr Ahmad dan Puan Khuzaimah juga turut bermalam di rumahku. Rakan-rakanku yang lain bermalam di rumah Izham.
Aku mengambil keputusan untuk menunggu di wad sahaja. Izzah dan Azreen masih berada bersamaku.
"Izzah... Azreen... lebih baik awak berdua balik dulu... biar saya saja tunggu kat sini..." Aku menasihatkan.
"Takpelah Zainal... saya nak tunggu di sini..." balas Izzah.
"Jangan macam tu Izzah... balik dulu... nanti kalau ada apa-apa saya bagitau... ok..." Izzah mengangguk beralah. Azreen bangun sambil memimpin tangan Izzah.
"Terima kasih Zainal..." Azreen mengucapkan terima kasih padaku. Aku mengangguk sahaja. Aku tak pasti sama ada terima kasih tu kerana aku bersedia tunggu di sini atau kerana menyimpan cincin tadi. Mereka berdua berlalu meninggalkan aku di depan wad ICU.