"Jadi..?" tanyaku lagi.
"Awak mesti pernah dengar nama Nurul selalu disebut-sebut Khairil kan?" Izzah menjawab dengan pertanyaan padaku.
Barulah aku faham. Nurul yang dimaksudkan Khairil selalu tu adalah Nurul Izzah. Kawan sekuliah dengan aku rupanya.
"Jadi... awaklah... Nurul..?" Aku mencari kepastian.
"Ye Zainal... sayalah Nurul tu..." balasnya sambil menganggukkan kepalanya.
"Apa yang dah jadi? Kenapa awak sanggup buat macam ini pada Khairil?" tanyaku lagi. Suaraku naik senada. Aku terasa panas di dalam hati bila menyedari aku berdepan dengan insan yang mengecewakan teman baik aku adalah insan yang sama yang aku kagumi selama ini dengan kesopanan dan keindahan pekertinya.
"Awak tak faham Zainal... susah bagi saya nak jelaskan... dan senang pulak bagi orang lain untuk keliru..." balasnya. Berfalsafah pulak dia ini. Straight to the point sudah la.
"Pasal pagi tadi?" tanyaku.
"Khairil berjumpa dengan saya pagi tadi... dia mendesak saya... dia nak tahu kenapa saya minta putus..." jelas Izzah.
"Kak..." Fatihah yang berada di sebelahnya bersuara. Dia merenung ke dalam mata Izzah seolah-olah berkata 'jangan teruskan kak...'
"Fatihah... akak mesti berterus terang dik... akak dah tak sanggup nak tanggung semuanya sendiri......" balas Izzah. Aku semakin berdebar-debar. Apa bendanya semua ini.
"Apa semuanya ini Izzah? Saya makin tak faham..." tanyaku.
"Saya akui memang saya sayangkan Khairil pada suatu masa dulu... dan sampai ke hari ini... perasaan tu masih tetap kukuh di hati ini..." Izzah berhenti sejenak.
"Tak pernah terlintas di fikiran saya untuk berubah hati apatah lagi nak berlaku sekejam yang telah saya lakukan pada Khairil sekarang ini... tapi saya tersepit antara kehendak hati saya dan juga kehendak dua hati yang saya anggap sebagai ibu dan ayah kandung saya... yang menjaga dan membesarkan saya saling tak kurang seperti anak kandung sendiri" Izzah menyambung kata-katanya tadi.
"Maksud awak?" tanyaku lagi. Aku faham dua hati yang dimaksudkan Izzah tu adalah ibu dan ayah angkatnya yang memeliharanya sejak kecil dulu. Itu aku tahu dari dulu lagi. Tapi, apa yang menjadi masalah sekarang ini?
"Saya dah bertunang Zainal... pilihan ibu dan ayah saya... dan saya tak sampai hati nak tolak permintaan ibu dan ayah saya... yang nakkan saya berumahtangga dengan dia... ibu dan ayah saya dah korbankan segalanya untuk saya membesarkan saya... takkanlah satu permintaan mereka saya nak kecewakan..." sambungnya.
"Awak kenal dengan tunang awak tu?"
"Kenal... sangat kenal..." balas Izzah ringkas. Airmata jernih kulihat menitis dari pipinya.
"Dia tahu?" tanyaku lagi. Izzah menggelengkan kepalanya.
"Kami ditunangkan semenjak kecik... saya baru diberitahu sebelum balik ke sini untuk kuliah tahun 4 dulu..." balas Izzah lagi. Patutlah dia membuat keputusan untuk berpisah dengan Khairil.
"Tapi kenapa baru sekarang awak minta putus Izzah?!" tanyaku tak puas hati.
"Suatu hari nanti awak akan faham juga Zainal... melukakan hati orang kita sayang pedihnya sekali ganda melukakan hati sendiri... saya tak sanggup biarkan Khairil menanggung kekecewaan seorang diri di UK sana... biarlah dia dapat tahu ketika dia di sini... sekurang-kurangnya dia ada awak untuk meluah rasa..." balas Izzah.
"Tunang awak dah tahu tentang semua ini?"
"Saya tak pasti..." balas Izzah.
"Tak pasti...? Awak mesti berterus terang pada dia Izzah... dia juga ada hak untuk tahu semua ini..." Fatihah menghulurkan sehelai tisu pada Izzah.
"Betul tu Izzah... awak patut bagitahu tunang awak tu..." Izham yang sedari tadi menyepi diri bersuara. Izzah kelihatan terisak-isak. Dia memeluk Fatihah.
"Abang Zainal...... abang Izham...... Kak Izzah tengah buat apa yang abang suruh tu..." Fatihah bersuara. Aku terkesima. Apa yang dimaksudkan Fatihah tu?
"Tunang saya bernama Zainal Ariff Bin Hj Ahmad..." balas Izzah. MasyaAllah. Terpana aku seketika bila mendengar nama aku disebut Izzah. Biar betul ini? Kenapa aku tak pernah tahu tentang semua ini? Tiba-tiba sahaja aku teringatkan Dr Ahmad dan Puan Khuzaimah... teringatkan perubahan riak wajah ayahku bila mana aku memanggil Dr Ahmad sebagai Uncle dan juga teringatkan layanan istimewa mereka padaku juga keakraban ibu dan ayahku dengan mereka berdua. Rupanya ada udang disebalik batu.
"Kenapa awak tak pernah cakap pada saya selama ini Izzah?"
"Awak nak saya mengaku pada awak yang saya ini tunang awak?... sedangkan kita sama-sama tak tahu bila kita ditunangkan? Atau awak nak saya laungkan satu fakulti yang awak adalah tunang saya... macam tu Zainal?" Izzah merenung ke wajahku. Aku merenung kembali wajahnya. Wajah tunangku yang tak pernah aku tahu dan tak pernah aku duga.
"Saya minta maaf Izzah... perkara ini berlaku kerana adanya saya di antara awak dan Khairil..."
"Awak tak bersalah Zainal... tak ada sesiapa yang mesti dipersalahkan dalam hal ini..." balas Izzah.
"Jadi sekarang ini... Khairil dah tahu yang kita berdua adalah ...."
"... sebab tu lah dia baran pada awak pagi tadi Zainal..." Izzah memotong kata-kataku.
Sekarang barulah aku faham segalanya. Patutlah Khairil menuduh aku berpura-pura baik padanya. Rupa-rupanya dia menyangka aku dan Izzah sengaja merahsiakan pertunangan kami dari pengetahuan dia. Sedangkan tak pernah terlintas di dalam fikiranku Nurul yang disanjunginya itu adalah Izzah. Dan tak pernah sampai ke pengetahuan aku bahawa Izzah adalah tunanganku.