Walau pun dia masih belum dapat membuat keputusan yang sebenarnya, Usu seperti sudah bersedia untuk ke NZ. Dia sudah berfikir-fikir akan persiapannya untuk ke sana. Pemeriksaan kesihatan sudah selesai. Dia selalu juga berjalan-jalan di gedung-gedung pakaian melihat pakaian-pakaian yang sesuai untuk dipakai di negara bermusim sejuk itu. Walau pun tidak membeli, cukup sekadar membelek-belek dan menimbang-nimbang harga kedai mana yang lebih murah. Kedai mana punya design yang lebih menarik.
Di sebalik kegembiraannya itu, dia tahu bahawa syarat Ayah dan Mama masih belum ditunaikan. ‘Mission impossible’nya masih belum tercapai. The mission is not accomplished yet. Misi besar. Macam misi ke kutub utara sahaja. Atau pun misi menjejaki puncak gunung Everest. Tapi ini bukannya calang-calang misi. Seumur hidup menyesal kalau tersalah pilih. Kalau setakat kahwin untuk sambung belajar, baik tak payah. Baginya perkahwinan adalah ikatan dua hati yang seia sekata, berkongsi suka dan duka, menempuh segala bersama hingga hujung nyawa. Kalau setakat kahwin macam ikat kontrak buat bangunan itu, baik tak payah kahwin. Kalau setakat habis kontrak, berpisah.
Kadang-kadang dia berdoa agar Ayah dan Mama mengubah syarat itu. Mudah-mudahan. Tapi nampaknya impian masih lagi belum menjadi kenyataan. Syarat itu tetap sama. Setiap kali berbual di dalam telefon, Ayah atau Mama akan selalu bertanyakan hal ini. Apa keputusannya? Ya kah? Tidak kah? Okeh kah? Tak Okeh kah? Wallahu’alam. Hanya Dia sahaja yang Maha Tahu akan kesudahannya. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan urusan.
------
“Zulfa... Zulfa...” Dia menoleh ke kiri dan ke kanan mencari pemilik suara yang memanggilnya.
“Sini la..” Ibtisam berjalan menghampiri Usu.
“Oh Ibtisam... ada ape?” Usu berjabat tangan dengan Dr Ibtisam Humairah.
“Zulfa free tak malam Jumaat nih..?” Riak wajah Ibtisam seperti sangat-sangat berkehendakkan Usu menjawab ‘free’ sahaja.
“Ada ape malam Jumaat nih?” tanya Usu semula. Soalan Ibtisam tadi dibiarkan tidak berjawab dulu.
“Nak jemput Zulfa datang rumah... ada kenduri kecik-kecik... kenduri arwah...” balas Ibtisam.
“Oh... InsyaAllah... tak ada hal... pukul berapa?” Usu tersenyum.
“Lepas Isyak...” balas Ibtisam. Usu menganggukkan kepala.
“Erm... Zulfa tidur terus di rumah Ibtisam yer... lagi pun dah lama tak jumpa Zulfa...” cadang Ibtisam. Sejak diperkenalkan oleh Ashraff, hubungan mereka semakin rapat. Selalu juga Usu ke rumah Ibtisam mendengar pengisian agama yang disampaikan oleh ayah Ibtisam sendiri. Kadangkala dia bermalam di sana. Ada juga beberapa kali mereka mengadakan Qiyamullail bersama-sama. Cuma kebelakangan ini sahaja, kesibukan menghambat diri masing-masing.
“InsyaAllah... boleh qiyam sekali...” balas Usu.
------
“Zulfa, kalau Ibtisam cakap satu perkara boleh?” Mereka baru saja selesai membantu mengemas pinggan mangkuk.
“Pasal ape?” Usu menarik bantal kepala ke ribaannya.
“Kalau ada seorang lelaki yang betul-betul sayangkan Zulfa, nak jadikan Zulfa suri hidup dia, Zulfa terima tak?” Ibtisam serius bertanya. Macam memang wujud lelaki semacam itu yang sedang menantikan Usu.
“Kenapa Ibtisam tanya macam tu?” Usu tersenyum memandang wajah Ibtisam yang sedikit cuak. Takut dimarahi Usu gamaknya.
“Saje nak tahu... kire lelaki nih baik, bertanggungjawab dan agamanya pun alhamdulillah... Zulfa terima tak?” Ibtisam masih menantikan jawapan dari Usu.
“Kalau dah itu jodohnya Zulfa, InsyaAllah Zulfa terima saja...” jawab Usu ikhlas. Dia juga tidak memilih sangat. Tapi kini dia perlu lebih hati-hati memilih suami kerana dia takut pilihannya atas dasar hendak menyambung belajar sahaja. Dia tidak mahu tertipu dengan perasaan yang ingin sangat menyambung belajar itu hinggakan sanggup menerima siapa sahaja sebagai suami.
“Walaupun bakal suami Zulfa itu bukanlah seorang yang Zulfa kenal sangat?”
“Nenek Zulfa terima TokWan tanpa kenal sangat pun, tapi alhamdulillah diorang bahagia sampai hari nih...” jelasnya.
“Iyer?”
“A’ah... kata nenek dia terima saja Tokwan sebagai jodoh dia... dia redha saja.. alhamdulillah sampai sekarang kekal rukun damai...”
“Kire nak ikut jejak langkah nenek ke nih?” Ibtisam tersengih.
“Ape mimpi Ibtisam tetiba tanya soalan pelik-pelik nih?”
“Sebenarnya.. erm..” Teragak-agak hendak diteruskan ayat.
“Ape? Uh ah uh ah cakap je la...” Usu tersengih.
“Sebenarnya Safuan tu dah lama menanti Usu... dia segan nak bagitahu... kebetulan pulak kami kenal, jadi dia sampaikan hajat dia melalui Ibtisam...” Terdiam Usu mendengar bait-bait ayat yang keluar dari mulut Ibtisam. Gulp. Hati mula berdebar-debar. Hajat apa pula nih?
“Hajat apa pulak nih Ibtisam?” Usu gagahkan bibirnya mengukir senyum. Walaupun dia sudah mula rasa berdebar.
“Hajat nak menyunting bunga di taman rumah Hj Ahmad la..” balas Ibtisam tersengih.
“Menyunting sape?” Lemah betul Usu nih.
“La... Zulfa nih... nak melamar Zulfa la... sape lagi?” terus terang Ibtisam. Kalaulah ada lalat yang sedang terbang di hadapan mulut Usu, sudah pasti tersesat sampai ke usus besar jika melihatkan kepada bukaan mulut Usu itu. Tergamam sampai tak ada ayat nak dicakapkan. Ini kali kedua dia mendengar hajat Safuan disampaikan. Dulu nenek yang bagitahu, kini Ibtisam pula. Beriya-iya benar lelaki itu hendak mengambil Usu sebagai isterinya. Halina nak diletak di mana? Belum sempat Usu bertanya, Ibtisam menerima panggilan telefon pula. Perbualan mereka termati begitu sahaja.
Usu mengambil langkah berhati-hati. Dia tidak mahu tersalah pilih. Tapi, pilihan mana yang ada pada dirinya? Hanya Safuan seorang sahaja yang benar-benar menyatakan hasratnya ketika ini. Mungkin dia benar-benar ikhlas hendak menjadikan Usu suri hidupnya. Tapi tak masuk di akal pula. Takkan Safuan nak beristeri dua? Hidupnya dengan Lina sudah rukun damai. Mungkin juga sudah tiba masanya dia memikirkan masa depan dan kehidupan esok. Mungkin sudah sampai masanya untuk dia membuka sedikit ruang hatinya kepada insan bergelar lelaki. Sampai bila hendak diturutkan rasa kecewa dan patah hati? Yang patah kan tumbuh semula, yang hilang pasti ada yang mengganti.
Tapi itu tidak bermakna bahawa dia akan bulat-bulat menerima siapa sahaja yang datang kepadanya. Kata orang cinta boleh dipupuk selepas kahwin, tetapi rasanya cinta hanya akan berputik apabila hati berkenan. Kalau hati menyatakan ‘ya’, InsyaAllah lambat laun, lama kelamaan rasa cinta akan datang juga. Tapi jika hati mengatakan ‘tidak’, bagaimana? Entahlah. Hanya kuasa Allah sahaja yang mampu. Kalau benar pun Safuan berhajat, kenapa tidak dinyatakan terus pada empunya diri? Kenapa mesti melalui orang tengah? Kenapa mesti melalui Nenek dan kini pula Ibtisam? Bukankah mereka pernah sepejabat?
“...dia segan nak terus terang, takut-takut Zulfa dah ada pilihan hati...”
Ada lagikah di zaman serba serbi canggih ini lelaki yang macam ini? Pemalu dan segan itu dan ini? Huhu. Betulkah apa yang didengarinya dari Ibtisam tempoh hari? Atau khayalan semata-mata? Safuan malu nak berterus terang dengannya. Ke takut dengan Halina. Ah.. tak mungkin Usu mahu melukakan insan yang sudah dianggap sebagai adiknya itu. Di mana batas dan sempadan untuk dia jadikan panduan memilih jodohnya? Usu bingung. Agaknya semua wanita akan lalui pengalaman yang sama bila berdepan dengan perkara ini. Serba salah untuk mencari yang terbaik. Bagi seorang wanita, perkahwinan biarlah untuk kali pertama dan terakhir seumur hidupnya. Apakah lelaki juga begitu?
Bagaimana pula dengan Ashraff? Bukankah dia juga pernah menyimpan rasa terhadap Usu? Kenapa mesti dia mengalah sebelum berusaha? Diakah yang tidak berusaha atau Usu sendiri yang sentiasa mematahkan usaha Ashraff? Hingga lelaki itu pergi tanpa pesan dan harapan.
Doakan kita bertemu lagi suatu masa nanti.
Itu sahaja kata-kata terakhir darinya. Apakah mungkin dia berhajat untuk bertemu semula dengan Usu. Atau mungkinkah maksudnya adalah ‘doakan kita disatukan sebagai suami isteri suatu masa nanti’? Mungkinkah dia masih menaruh harapan untuk menambat hati gadis yang sukar dimengertikan itu? Kalau benar begitu, kenapa perlu dia lari dari kenyataan? Nak jadi tarzankah? Bersembunyi di dalam gua. Di mana dia? Gua mana dia sedang bertapa? Atau dia sedang berbahagia dengan ‘Jane’?
****
"Awak biar betul ni Safuan? Takkan nak pasang dua kot?" Terlopong mulut Ibtisam mendengar luahan dari Safuan. Halina dan Safuan tersengih.
"Akak ni fikir jauh sangatlah... kalau nak pasang dua, takkannya Abang Wan nak bawak saya sekali kat sini.. nak cari nahas le tu kalau ada hati macam tu..." Halina mencubit pinggang Safuan. Tersengih.
"Sorang ni pun dah bahagia Akak.. buat apa lagi nak cari yang lain... dialah permata hidup saya, dialah racun, dia jugaklah penawar saya..." Safuan tersenyum memandang Halina.
"Takdelah... tetiba je nak suruh akak merisik Zulfa... peliklah... Safuan kan dah beristeri..." kata Ibtisam.
"Macam ni Akak, merisik ni bukan untuk saya, tapi untuk Ashraff..." jelas Safuan.
"A'ah Akak. Dalam erti kata lain, Akak merisik bagi pihak Abang Wan, yang mana Abang Wan pulak merisik tu bagi pihak Ashraff..." kata Halina.
"Wah... berlapis-lapis merisik ni..." Ketawa berderai.
"Nak buat cemana Akak, si Ashraff tu pemalu tahap gaban... susah betul nak suruh dia buat ape-ape kalau dalam bab hati dan perasaan ni..."
"Faham... tapi syukurlah sekurang-kurangnya dia ada kawan-kawan sebaik korang semua... selalu amik berat hal dia.." kata Ibtisam pula.
"Boleh tak ni Akak?" Halina bertanya lagi.
"InsyaAllah... minggu depan ade kenduri arwah di rumah Akak.. nanti Akak jemput Zulfa datang tidur di rumah... Akak rasa time tu sesuai kot nak bertanya dia..." balas Ibtisam.
"Thanks ye Akak..." kata Safuan.
"Sama-sama..."
****